(GAMBAR kiri) Keadaan dapur rumah mangsa. (Gambar kanan) Muhammad Haidar cedera akibat paip sinki rumah jiran yang dituang asid meletup. FOTO ihsan Nurul Shaszamul Hidayah Mohd Sham
(GAMBAR kiri) Keadaan dapur rumah mangsa. (Gambar kanan) Muhammad Haidar cedera akibat paip sinki rumah jiran yang dituang asid meletup. FOTO ihsan Nurul Shaszamul Hidayah Mohd Sham
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Hati ibu mana yang tidak pilu lihat keadaan anak yang melecur hampir seluruh badan disebabkan asid," kata ibu kepada kanak-kanak yang cedera dalam kejadian letupan paip sinki di rumahnya di Kota Perdana, Seri Kembangan, Serdang, malam tadi.

Menceritakan semula kejadian itu, Nurul Shaszamul Hidayah Mohd Sham, 32, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam, mereka sekeluarga mahu menikmati makan malam.

"Ketika itu, anak ketiga saya, Muhammad Haidar Munir, 9, sedang menggoreng telur di dapur ditemani adiknya, Marissa Nur Humaira Munir, 7.

"Tiba-tiba, kami terdengar letupan kuat di dapur. Kami sangkakan bunyi gas memasak meletup sebelum terhidu bau asid yang kuat dan kedengaran Haidar mengerang kesakitan.

"Saya terus berlari ke dapur dan mendapati paip sinki jiran yang terletak di bahagian siling dapur meletup dan terdapat asid di dalam kuali digunakan Haidar untuk menggoreng telur," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Nurul Shaszamul berkata, anak ketiga daripada lapan beradik itu kemudian dilihat berlari ke bilik air dalam keadaan rambutnya menjadi keras akibat terkena asid.

"Suami kemudian membantu Haidar membuka baju serta menyiram air pada seluruh badannya. Ketika itu, dia hanya mengerang kesakitan.

"Saya kemudian mengarahkan anak sulung dan anak kedua pergi ke rumah jiran untuk memaklumkan mengenai perkara itu kepada mereka.

"Sebaik melihat keadaan dapur yang terdapat tompokan cecair berbuih di atas meja dan di dalam kuali, jiran nampak terkejut dan meminta maaf kepada kami," katanya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke Hospital Serdang sebelum dirujuk ke Hospital Tunku Azizah, di sini, memandangkan keadaan kecederaan dialami Haidar yang melecur tahap tiga.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan, doktor mendapati hampir keseluruhan bahagian kepala melecur termasuk rambut Haidar yang mengeras seperti plastik terbakar.

"Ada juga bahagian bertompok sehingga menampakkan kulit kepalanya akibat hakisan asid berkenaan.

"Bahagian muka dia paling teruk terjejas termasuk kedua-dua matanya juga terkena asid dengan selaput matanya di bahagian luar terkoyak.

"Doktor memaklumkan kemungkinan mata Haidar sembuh seperti sedia kala adalah 50/50 dan dia kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) kebakaran di Hospital Tunku Azizah," katanya.

Dia juga memaklumkan anak keempatnya turut mengalami cedera ringan di bahagian paha kanan dalam kejadian itu dan dirawat sebagai pesakit luar.

Menurutnya, mereka sekeluarga kini menetap di rumah mentuanya di Serendah, Hulu Selangor, kerana merasakan rumah sewanya itu yang baru didiami sejak tiga bulan lalu tidak selamat selepas insiden berkenaan.

"Jiran ada memaklumkan dia terpaksa menggunakan asid untuk mengatasi masalah sinki tersumbat selepas mencuba pelbagai cara sebelum ini.

"Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam kejadian ini kerana tahu ia adalah kemalangan. Namun, melihatkan keadaannya begitu, saya jadi sedih.

"Walaupun dalam keadaan begitu, dia masih lagi teruja sejak semalam untuk mengambil buku teks Tahun 3 di sekolah yang dijadualkan hari ini," katanya membuat laporan mengenai kejadian itu di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.

Menurutnya, dia sedar jiran tidak ada niat untuk mencederakan anaknya yang kebetulan berada di dapur.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di nombor akaun BSN Nurul Shaszamul Hidayah Mohd Sham, 1099529000242635.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 1:17 PM