THINAAH (kiri) dan Pearly puas selepas muncul juara Terbuka Perancis. FOTO EPA
THINAAH (kiri) dan Pearly puas selepas muncul juara Terbuka Perancis. FOTO EPA
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Sejarah tercipta apabila beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya meraih gelaran juara Terbuka Perancis selepas menewaskan pasangan dari Jepun, Mayu Matsutomo-Wakana Nagahara dalam perlawanan akhir sebentar tadi.

Perlawanan akhir di Stade Pierre de Coubertin, Paris itu menyaksikan Pearly-Thinaah jelas tidak berdepan masalah untuk memberi saingan hebat kepada beregu yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan itu.

Beregu negara yang kini menghuni ranking ke-11 dunia itu berjaya mengatur corak permainan kemas pada set pertama untuk menang 21-19 biarpun menerima tentangan hebat daripada lawan.

Bagaimanapun, Mayu-Wakana tidak mahu memberi laluan mudah kepada pemain negara apabila mereka tampil dengan aksi lebih bertenaga pada set kedua sebelum menamatkan saingan dengan kemenangan 21-18, sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.

Ternyata Pearly-Thinaah tidak berdepan masalah untuk bermain dalam satu lagi set apabila mereka kekal dengan aksi konsisten untuk meraih kemenangan bergaya 21-15 sebelum menamatkan keseluruhan perlawanan dalam tempoh satu jam 12 minit.

Dengan kemenangan ini, ia menjadikan kejuaraan kali kedua buat mereka dalam Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Switzerland pada tahun lalu.

Mengikut rekod, Pearly-Thinaah adalah beregu wanita kedua dari Malaysia yang berjaya melangkah ke final Terbuka Perancis selepas gandingan Wong Pei Tty-Chin Ee Hui yang mara pada 2008, namun terpaksa berpuas hati dengan naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 10:59 PM