Redzuan Muharam


Georgetown: Zahirnya, Yoyo tiada beza dengan kucing lain namun ada keunikan tersendiri kerana suka memeluk apa saja barang diberi kepadanya.

Jika barang dalam pelukannya diambil orang, Yoyo akan berpaling muka tanda merajuk dan keletah itu yang membuatkannya nampak istimewa.

Yoyo juga bukan sekadar kucing biasa kerana dikenali dalam kalangan pengguna laman sosial selepas wanita dikenali sebagai Syaf memuat naik video keletahnya di TikTok.

Sejak itu, Yoyo mendapat perhatian hingga ramai suka mengusiknya apabila berjumpa di luar kerana mahu lihat sendiri reaksi haiwan berkenaan.

Bercerita lanjut, Syaf berkata, Yoyo bukan kucing peliharaannya sebaliknya milik seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang juga jirannya di Bandar Sri Pinang, di sini.

Bagaimanapun, Syaf juga pencinta kucing jadi dia menyayangi Yoyo seperti haiwan peliharaannya sendiri.

"Kali pertama saya bertemu Yoyo adalah ketika tuannya datang minta bantuan saya membersih dan 'grooming'.

"Kebetulan, saya memang ada tawarkan perkhidmatan itu (membersih dan mendandan) sejak 2017 jadi cuba bantu.

"Ketika datang dulu, keadaan Yoyo comot, badannya juga kurus bukan gemuk seperti sekarang.

"Ia kerana Yoyo dulu hanya kucing jalanan sebelum diselamatkan tuannya setahun lalu, seingat saya ketika berumur lima atau enam bulan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

YOYO asalnya kucing jalanan sebelum diselamatkan pemiliknya tahun lalu. FOTO ihsan pembaca
YOYO asalnya kucing jalanan sebelum diselamatkan pemiliknya tahun lalu. FOTO ihsan pembaca

Menurut Syaf, dia juga memelihara 22 ekor kucing kampung dan baka campuran jadi cuba berkongsi pengalaman serta memberi tunjuk ajar mengenai cara penjagaan haiwan itu dengan pemilik Yoyo.

Memandangkan ramai suka melihat keletah Yoyo, Syaf juga yang akan memuat naik video kucing berkenaan di TikTok dengan keizinan pemiliknya.

"Pemiliknya masih bersekolah jadi dia beri amanah kepada saya untuk bantu uruskan hal perkongsian video Yoyo di laman sosial.

"Baru-baru ini, Yoyo diundang ke program pameran kucing di Kuala Lumpur, saya dan suami sekali lagi akan membawa Yoyo kerana pemiliknya tidak dapat turut serta.

"Dunia dan rutin harian memang dengan kucing. Jadi sudah tentu saya sayangkan Yoyo dan melayannya dengan baik seperti kucing peliharaan sendiri," katanya.

Menurut Syaf, bukan hanya Yoyo dan kucing peliharaannya saja yang menjadi keutamaannya.

Sebaliknya, Syaf pernah menyelamatkan kucing jalanan malah sanggup menjual barangan kesayangan untuk beli makanan serta menampung kos rawatan haiwan berkenaan.

"Saya pernah ada kamera DSLR, komputer riba dan barang kemas namun semuanya dijual untuk makanan serta tampung kos perubatan malah tiada istilah berkira jika babitkan kucing.

"Saya sanggup usahakannya kerana sebelum ada TikTok, saya pernah kongsikan kisah seekor kucing sakit di Facebook (Fb) untuk minta sumbangan namun ada yang mempersoalkannya. Sejak itu, saya cuba cari duit sendiri walau susah macam mana sekalipun.

"Ada juga segelintir netizen di TikTok tidak senang hingga menuduh saya gunakan Yoyo untuk raih publisiti dan pendapatan namun hanya mampu bersabar kerana mulut orang kita tidak boleh tutup.

"Apa yang penting, suami memahami malah sudi menerima saya yang terlalu sayangkan kucing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 7:19 PM