Juwan Riduan


Tenom: Individu yang dikaitkan dengan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew enggan membuat laporan polis pada peringkat awal kerana menganggap dirinya hanya 'orang kecil', manakala tertuduh pula adalah 'orang besar'.

Saksi pertama pendakwaan, Mohd Fairuz Abu yang juga pakar motivasi berkata, dia sebelum ini juga menerima puluhan mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual termasuk yang dilakukan tertuduh.

"Salah seorang individu yang hubungi saya adalah (identiti pengadu tidak boleh didedahkan) pada 11.04 malam 26 Julai 2021, ada juga mangsa lain yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual Ebit Lew tetapi mereka tidak meletakkan nama mereka kerana takut dan tidak berani tampil ke depan.

"Pada awalnya (pengadu) bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam 'posting' (hantaran di Facebook), bila saya menyebut berkaitan Ebit Lew, maka pengadu terus berkongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengan beliau... juga menghantar gambar (lucah) yang diberikan oleh Ebit Lew melalui WhatsApp," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani di Mahkamah Majistret Tenom, di sini, hari ini.

Fairuz berkata, dia kemudian menasihatkan pengadu supaya membuat laporan polis, namun takut kerana menganggap dirinya hanya 'orang kecil' dan Ebit Lew sebagai 'orang besar'.

"Saya katakan kepada pengadu, jika ruang dan peluang ini tidak digunakan untuk membuat laporan polis, maka bayangkan berapa ramai lagi yang akan diganggu secara seksual oleh Ebit Lew," katanya.

Jawapan saksi pendakwaan itu kemudian dibantah peguam Ram Singh yang mewakili Ebit Lew kerana berpendapat jawapan berkenaan hanya bersifat tuduhan yang tidak mempunyai bukti.

"Jawapan itu tidak boleh direkodkan kecuali dia ada bukti laporan polis," katanya.

Bagaimanapun, Zahida membalas bantahan Ram Singh dengan menyatakan apa yang dikatakan saksi adalah perbualan antara dia dengan pengadu.

Katamnya, laporan polis akhirnya dibuat oleh pengadu dan dia juga dipanggil untuk memberi keterangan.

"Saya juga dipanggil untuk jadi saksi bagi diambil kenyataan oleh polis dan telefon bimbit saya juga telah diberikan kepada polis," katanya.

Ebit Lew, 37, menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan menghantar gambar dan perkataan lucah ke telefon bimbit mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 2:59 PM