SITUASI ‘cop parking’ menggunakan pelbagai objek antaranya kon dan pasu bunga. FOTO Danial Saad
SITUASI ‘cop parking’ menggunakan pelbagai objek antaranya kon dan pasu bunga. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sudah mengadakan perbincangan dengan perbadanan pengurusan (MC) beberapa pangsapuri di Bandar Perda di sini dan mereka bersetuju mengambil tindakan bagi mengatasi isu 'cop parking' dalam kalangan penduduk.

Bagaimanapun, Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad menjelaskan tempat letak kereta adalah berada di bawah bidang kuasa pentadbiran MC pangsapuri terbabit.

"Mengikut Seksyen 70(2) Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) ini memperuntukkan kepada MC untuk membuat undang-undang kecil berkaitan tempat letak kereta pangsapuri yang didiami mereka.

"Namun, kita sudah mengadakan perbincangan bersama pihak MC terbabit dan mereka bersetuju mengambil tindakan bagi mengatasi isu itu," katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan meletakkan pelbagai objek antaranya kon, kerusi, pasu bunga, penyidai baju dan tong sampah di kawasan parkir tanpa memikirkan perbuatan itu sebenarnya menyalahi undang-undang.

Itu situasi 'cop' parkir yang dapat dilihat ketika tinjauan diadakan di beberapa pangsapuri sekitar Bandar Perda di sini hingga rata-rata penduduk yang ditemui muak untuk mengajukan permasalahan berkenaan berikutan tiada penyelesaian yang dapat diambil sehingga hari ini.

Sementara itu, MC sebuah pangsapuri di Bandar Perda di sini memaklumkan pihaknya akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan lebih tegas untuk memastikan masalah 'cop' parkir yang sudah tidak terkawal dapat diatasi demi kesejahteraan semua penduduk.

Wakil MC yang mahu identitinya dirahsiakan memaklumkan pelbagai tindakan sudah diambil bagi mengatasi isu berkenaan termasuk mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa serta perbincangan bersama MBSP.

"Pada peringkat permulaan, kita tidak mahu terlalu berkeras kerana kami (wakil MC) juga tinggal bersama penduduk, jadi kami tak mahu timbul rasa tidak puas hati dan bermasam muka.

"Apa yang boleh kami lakukan sementara ini adalah dengan memberikan nasihat termasuk menghantar surat dan mengeluarkan notis serta menghebahkan dalam kumpulan WhatsApp komuniti kepada penduduk berkenaan untuk menghentikan kegiatan ini.

"Walaupun ia tidak jalan kerana beberapa kali sudah berbuat demikian (pemberian surat dan notis) kami tetap menjalankan tanggungjawab untuk memastikan hak penduduk lain dapat ditegakkan.

"Kami sedang berbincang untuk tindakan lebih tegas, tetapi ia mengambil masa kerana banyak perkara perlu difikirkan terutama dari segi hubungan MC dengan penduduk," katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, satu tindakan penguatkuasaan lebih drastik akan dilakukan kerana tidak mahu perkara berkenaan terus berleluasa.

"Perkara ini bukan isu yang baharu bahkan ia terlalu lama dan berlaku di kebanyakan pangsapuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:02 AM