HASSAN  mengikut jejak langkah majikannya dengan berhenti kerja sebagai mekanik dan beralih membuat keranda.
HASSAN mengikut jejak langkah majikannya dengan berhenti kerja sebagai mekanik dan beralih membuat keranda.
Nazdy Harun


Marang: "Setiap yang bernyawa pasti merasai kematian dan 'kenderaan' terakhir bakal digunakan adalah keranda yang diusung ke tanah perkuburan sebelum pengebumian," kata pembuat keranda, Wahab Salleh, 62.

Wahab atau lebih dikenali sebagai Bilal Ya dari Kampung Binjai Rendah di sini, berkata, dia mewarisi ilmu membuat keranda daripada arwah bapanya Salleh Jusoh, yang meninggal dunia, 22 tahun lalu.

Katanya, arwah bapanya membuat keranda sejak 1969 dan dia mewarisi kerja pertukangan itu dengan dibantu anak dan pekerja.

"Saya sebenarnya mekanik motosikal dan turut bertugas sebagai bilal masjid selama 27 tahun sebelum bersara enam tahun lalu.

HASSAN  menyiapkan keranda sambil dipantau  Bilal Ya di Kampung Binjai Rendah.
HASSAN menyiapkan keranda sambil dipantau Bilal Ya di Kampung Binjai Rendah.

"Namun, saya ambil keputusan berhenti menjadi mekanik dan menumpukan sepenuhnya kepada pembuatan keranda yang ditinggalkan arwah bapa.

"Lebih 200 keranda dapat disiapkan sebulan dan dihantar kepada pelanggan terdiri daripada pusat pengurusan jenazah, masjid dan pengurusan kampung." katanya.

Menurutnya, dia menggunakan kayu jelutong, belian dan setol untuk menghasilkan keranda.

Katanya, sebelum ini penduduk bergotong-royong menyiapkan keranda sekiranya ada kematian jika mereka tidak mahu menggunakan keranda siap.

"Namun, peredaran zaman mengubah semuanya dan kini keranda siap menjadi pilihan kerana menjimatkan masa dan proses pengebumian.

"Kenderaan ini yang terakhir digunakan si mati untuk ke alam sana. Mahu atau tidak, suka atau tidak, kita pasti melaluinya.

"Tiap-tiap hari membuat dan melihat keranda menimbul keinsafan dan pasti mengingatkan diri saya perihal kematian," katanya.

Katanya, pekerjaan itu fardu kifayah dan dia sedia melakukannya selagi termampu selain mewariskan pembuatan keranda kepada anak bongsu, Muhammad Aiman Hafizi, 20, yang kini membantunya di bengkel.

Sementara itu, pekerjanya Hassan Abdullah, 37, berkata, sebelum ini dia yang bekerja sebagai mekanik turut beralih mengikut majikannya menjadi pembuat keranda.

Katanya, pada mulanya dia agak kekok apabila beralih menggunakan alatan pertukangan berbanding membaiki motosikal.

"Ia menjadi cabaran dan amat menyeronokkan. Sudah 15 tahun saya membuat keranda bersama majikan walaupun sebelum ini tidak terlintas bekerja membuat keranda kerana saya juga mekanik.

"Namun, rezeki Allah atur sangat cantik dan saya selesa bekerja bersama Bilal Ya walaupun berlainan bidang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 7:00 AM