JOO Won sifatkan Carter filem tepat untuknya melakukan ‘comeback.'
JOO Won sifatkan Carter filem tepat untuknya melakukan ‘comeback.'
Georgie Joseph

SELEPAS lebih tujuh tahun tidak berlakon filem, pelakon Joo Won kembali membintangi filem terbitan Netflix berjudul Carter.

Filem arahan Jung Byung Gil itu sudah mula ditayangkan di platform itu sejak Jumaat lalu.

Yang pasti, Joo Won, 35, tampil dengan perubahan drastik dan cukup berbeza dalam filem itu.

Bagi menjayakan watak ejen perisikan, dia perlu menjalani latihan intensif selama tiga bulan.

Joo Won ketika ditemubual RAP berkata, Carter tepat untuk dia membuat 'comeback' memandangkan cabarannya sangat besar. Bukan setakat aspek aksi, tetapi senario difokuskan juga ternyata segar dan unik.

"Sewaktu membaca skripnya, saya tidak henti berfikir adakah ia mampu dilaksanakan? Tapi, saya memang nak sangat mencubanya.

"Saya percaya dan yakin ia filem yang cukup kuat untuk memperkukuh profil filem saya jika berjaya memberi lakonan cemerlang. Jadi, saya putuskan untuk sahut cabaran itu," katanya.

Berbeza dengan watak-watak pernah dijayakan sebelum ini, Carter jelas

menuntut lebih komitmen Joo Won. Bukan sekadar latihan bertempur, dia juga perlu mengubah fizikalnya.

Buat pertama kali juga, rambutnya terpaksa dipotong paling pendek. Selain itu, dia perlu menaikkan berat badan sebanyak tujuh kilogram untuk sesuaikan dengan watak itu.

JALANI latihan intensif lebih tiga bulan untuk wataknya.
JALANI latihan intensif lebih tiga bulan untuk wataknya.

Paling mencabar, Joo Won juga perlu berbogel dan mendedahkan badannya yang dipenuhi tatu.

Katanya, dia memang bersungguh-sungguh mendapatkan penampilan ideal itu supaya wataknya lebih hidup.

"Terdapat babak di mana saya perlu menayang keseluruhan tubuh. Penampilan itulah yang akan memberi tanggapan pertama bagaimana watak Carter itu sebenarnya.

"Justeru, saya berkerja keras untuk membina badan agar dapat memenuhi jangkaan penonton. Badan saya kena betul-betul 'sado' untuk menunjukkan watak itu gagah," katanya.

Menurut Joo Won, potongan rambutnya untuk Carter memang cukup asing juga. Mana tidak, dia selama ini sentiasa tampil dengan potongan rambut lebih tebal dan tak pernah hampir botak.

"Banyak perubahan yang perlu saya lakukan demi Carter. Saya juga kena mengubah corak suara selain bahagian belakang kepala dicukur untuk meletakkan kesan bekas dibedah," katanya.

Berikutan perubahan agak drastik itu, dia tidak menafikan wataknya memberi kesan sangat besar. Malah, dia akui sukar mengikis dan terbawa-bawa watak itu agak lama.

"Memang saya sangat terkesan dan terlalu dibuai dengan watak Carter. Malah, saya sebenarnya sukar untuk kembali menjadi diri yang sebenar selepas itu," katanya.

Disebabkan komitmen serta lakonan cemerlangnya itu, pengarah Jung Byung Gil sangat bersyukur memilihnya sebagai pelakon utama.

Baginya, percaturan itu sangat tepat dan tersentuh akan kesungguhannya.

Pengarah itu paling kagum dengan corak kerja Joo Won yang baginya mudah fahami sesebuah karya.

Katanya, ia terserlah juga pada kegigihan pelakon itu membina badannya.

"Joo Won memang sangat cekap apabila memahami kisah aksi. Antara ramai pelakon yang saya pernah bekerjasama, dia adalah antara pelakon yang terbaik dalam bidang aksi.

"Dia juga secara semula jadi dilahirkan dengan bentuk tubuh sempurna. Garisan dan visual fizikalnya secara keseluruhan memang begitu menarik," katanya.

Carter mengisahkan ejen perisikan yang tiba-tiba sedar dari koma namun hilang ingatan. Sebaik sedar, dia sudah menempuh pelbagai halangan apabila diserang pelbagai pihak yang ingin membunuhnya.

Lebih mendebarkan apabila kepercayaannya mula digugat apabila ramai pihak berlumba memberitahu identiti serta rahsianya. Situasi itu membuatkan dia dilema dan tidak pasti apa sebenarnya misi dikejar.

Selain Joo Won, filem itu turut menampilkan pelakon hebat lain termasuk dari Hollywood iaitu Camilla Belle. Ia turut dibintangi Lee Sung-jae, Jung Jae-young, Jung Hae-kyun, Kim Bo-min, Andreas Fronk dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 6:00 AM