Redzuan Muharam


Bangi: Kepakaran dan pengalaman lebih 30 tahun sebagai chef tidak hanya dimanfaatkan Muhammad Amann Teoh Man Chun untuk mencari rezeki dengan membuka restoran masakan Cina yang halal malah menjadikan ia medium berdakwah.

Muhammad Amann, 54, yang sudah memeluk Islam sejak sembilan tahun lalu juga berniat mahu memberi kesedaran, membuka mata masyarakat dan memperbetulkan persepsi salah segelintir masyarakat mengenai cara penyediaan makanan Cina yang boleh dibuat dengan bahan halal.

"Saya membuka restoran masakan Cina Muslim persendirian (Chinese Muslim Fine Dining Private Home Cuisine) pertama di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira empat tahun lalu dan ia adalah yang pertama seumpamanya dalam negara.

"Premis berkenaan hanya beroperasi dengan satu meja saja ketika itu kerana kita mengutamakan privasi pelanggan serta kualiti makanan dihidangkan untuk mereka.

CHEF Amann menyediakan masakan Cina di restorannya. FOTO Azhar Ramli
CHEF Amann menyediakan masakan Cina di restorannya. FOTO Azhar Ramli

"Pada 11 Januari tahun lalu iaitu ketika pandemik, saya buka pula restoran di sini dan Alhamdulillah, sambutannya memberangsangkan dengan kehadiran pelanggan bukan Muslim termasuk dalam kalangan ibu bapa penuntut universiti berhampiran.

"Selain menyediakan hidangan halal untuk pelanggan, cara saya berdakwah adalah dengan khaskan peruntukkan 20 peratus daripada hasil pendapatan untuk sediakan makanan dan ajak komuniti setempat termasuk bukan Muslim makan. Saya pilih cara itu kerana melihat makanan boleh menyatukan semua , " katanya ketika ditemui di restorannya dekat Bangi Gateway, di sini.

CHEF Amann menunjukkan masakan Cina di restorannya. FOTO Azhar Ramli
CHEF Amann menunjukkan masakan Cina di restorannya. FOTO Azhar Ramli

Berkongsi latar belakangnya, Muhammad Amann berkata, dia terjebak dalam bidang kulinari seawal umur 20 tahun bermula dengan membantu datuk menguruskan restorannya kerana kekurangan kakitangan.

"Saya bermula sebagai pembantu dapur dan lakukan secara sambilan saja pada awalnya kerana turut bermain muzik sebelum ambil keputusan bantu keluarga sepenuh masa.

"Selepas beberapa tahun kerja di restoran datuk, saya nekad timba pengalaman jadi beranikan diri ke luar negara dan kerja pertama saya di perantauan adalah sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di London, United Kingdom (UK).

"Kemudian, saya diberi kepercayaan jadi tukang masak dan selepas puas menimba pengalaman di situ, saya cabar diri dengan bekerja sebagai chef di Scotland.

"Pekerjaan sebagai chef membawa saya mengembara ke beberapa tempat di Eropah seperti Amsterdam, selain negara lain iaitu Shanghai, Hong Kong, Australia, Thailand, Indonesia, Singapura dan Papua New Guinea sebelum pulang ke Malaysia kira-kira 10 tahun lalu," katanya.

Muhammad Amann berkata, pengalaman merantau banyak mengajarnya erti hidup malah mula tertarik dengan Islam sewaktu menetap di Australia.

Katanya, ketika itu, dia berjiran dengan pasangan suami isteri Muslim warga Lubnan dan sikap mereka yang suka bersedekah membuatkannya nampak keindahan Islam

"Saya dulu bukan orang kaya tetapi hidup selesa namun kedekut dan tak akan sedekah walaupun satu sen sekalipun.

"Bagi saya, ia hasil titik peluh kerja, jadi duit yang ada perlu disimpan sendiri dan sangat takut jika ia (duit) hilang.

"Bagaimanapun, saya lihat jiran saya suka bersedekah malah setiap Jumaat dia akan agihkan 200 pek makanan dan ia membuatkan saya tertanya-tanya kenapa perlu sedekah.

"Bertitik tolak daripada situ, saya belajar cara hidup Islam malah mengikuti kelas agama selepas pulang ke Malaysia pada 2012 sebelum ambil keputusan berhijrah," katanya.

Muhammad Amann berkata, Islam juga banyak mengubah karakternya daripada seorang yang ego dan sombong menjadi insan lebih baik.

"Saya ada dua anak perempuan hasil perkahwinan pertama dan dulu mereka enggan tinggal bersama saya kerana sikap buruk saya.

"Mereka juga tidak bersetuju dengan penghijrahan saya namun dapat terima dan mahu tinggal bersama saya selepas enam bulan saya memeluk Islam.

"Ia kerana mereka nampak perubahan saya dan walaupun belum memeluk Islam, mereka turut sama menyokong misi dakwah menerusi makanan yang saya jalankan," katanya.

Muhammad Amann berharap dapat meneruskan usaha dakwah menerusi makanan dengan pembabitan lebih ramai pihak.

"Matlamat saya adalah memberi kesedaran kepada masyarakat yang penyediaan makanan Cina halal tidak menghapuskan identiti atau budaya tetapi lebih kepada mengikut ajaran Islam.

"Halal juga merangkumi aspek kebersihan dan itu yang saya cuba tekankan malah mahu masyarakat tahu ia (makanan halal) untuk semua, bukan Muslim saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 7:36 PM