Ridzuan Abdul Rahman


MELIHATKAN pada statusnya sekarang, Datuk Syafinaz Selamat boleh dikatakan mempunyai kedudukan selesa dalam industri muzik tanah air.

Syafinaz, 49, sering terbabit sebagai juri program pertandingan nyanyian popular Gegar Vaganza, selain menjadi guru vokal untuk pelbagai pihak.

Bagaimanapun, Syafinaz menjelaskan tidak pernah berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini. Malah dari semasa ke semasa dia sentiasa berusaha meningkat ilmu dalam kariernya.

"Sememangnya saya nak capai macam-macam, maksudnya untuk diri saya sendiri sebab saya suka menaik taraf apa ilmu dan pengalaman yang ada.

"Saya suka sertai kelas secara dalam talian. Dengan adanya teknologi, saya sertai kelas dalam talian di luar negara. Dulu kalau saya nak belajar, kena pergi luar dan jumpa.

"Oleh kerana sekarang, ketika pandemik kita diperkenalkan kepada kelas secara dalam talian, ini kelebihannya apabila teknologi itu bantu kita memperbaiki diri," katanya.

Menurutnya tiada alasan lagi untuknya tidak boleh menambah ilmu kerana tidak boleh bergerak bebas ke sana sini seperti dulu.

"Sekarang masa yang terbaik sebab kita boleh belajar menerusi dalam talian. Jadi, kita kena manfaatkan ia sebaiknya," katanya.

Syafinaz berkata, seperkara yang menggembirakannya sebagai guru vokal ialah anjakan paradigma segelintir artis yang makin terbuka untuk belajar vokal.

SENTIASA menambah ilmu dalam kariernya tanpa jemu.
SENTIASA menambah ilmu dalam kariernya tanpa jemu.

"Ramai yang jumpa saya untuk belajar vokal. Seperti Amy Search yang buat konsert sebelum ini, gunakan khidmat saya sebagai penasihat untuk konsert terbabit.

"Begitu juga Misha Omar ketika buat single baharu gunakan khidmat saya. Pada saya ini satu senario yang baik untuk industri kita. Sebelum ini kita tak terbuka dengan benda ini.

"Kita hanya fikir menyanyi sahaja kerana bakat semula jadi. Tapi, sebenarnya artis perlukan satu lagi 'telinga' yang boleh bantu untuk mempermudahkan cara nyanyian," katanya.

TIADA alasan bagi Syafinaz untuk tidak boleh menambah ilmu.
TIADA alasan bagi Syafinaz untuk tidak boleh menambah ilmu.

Menurutnya, ada artis yang berbakat, tetapi mungkin kekurangan teknik dan disini guru vokal boleh membantu.

"Ia bukan untuk tukar suaranya, tapi menyenangkan kerjanya. Misalnya macam saya kerja dengan Misha untuk single Tanpa Rela. Kita buat sekitar enam hingga 10 kali kelas di luar hanya untuk lagu itu.

"Setiap kelas selama dua jam, jadi bayangkan berapa tempoh kita ambil untuk satu lagi. Untuk itu kerja dalam studio jadi mudah. Saya bercakap dengan dia pun senang kerana dah buat kelas," katanya ditemui ketika menerima pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia Badan Peneraju Seni Budaya pada Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Seni Budaya anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang disampaikan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri di MOTAC baru-baru ini.

BERSYUKUR menerima pengiktirafan dari JKKN.
BERSYUKUR menerima pengiktirafan dari JKKN.

"Saya, Misha dan Jaclyn Victor duduk berbincang sebelum ini bagi menghasilkan silibus nyanyian di bawah JKKN yang juga Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body-ILB) Seni Budaya yang dilantik oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia pada 2018.

"Daripada usaha terbabit, kami mendapat sijil ini dan ia satu penghargaan. Sebelum ini mereka ada modul, tapi tak mencapai 'standard' sepatutnya. Kami ubah suai jadikannya lebih mantap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 6:00 AM