MATTHEW Crawford.
MATTHEW Crawford.
Agensi

London: Matthew Crawford, dipercayai lelaki paling gemuk di Britain dengan berat badan 350 kilogram, meninggal dunia pada usia 37 tahun.

Mirror melaporkan Crawford sebelum ini menjadi tajuk utama berita apabila seluruh laluan di wad rawatannya selain empat katil hospital terpaksa digunakan untuk menempatkan lelaki itu kerana dia terlalu gemuk untuk bergerak.

Terdapat juga kekecohan pada tahun 2018 apabila portal berita itu mendedahkan penjagaan untuk rawatan Crawford menyebabkan Hospital King's Mill menanggung kos beribu-ribu pound sterling.

Dia didakwa lazimnya memesan piza dan makanan Cina untuk dimakan ketika dalam rawatan di hospital itu, sesuatu yang dinafikannya.

Crawford akhirnya dibenarkan keluar dari hospital di Nottinghamshire itu, setahun kemudian, untuk ke kemudahan penjagaan khas bersesuaian untuknya.

Peminat pasukan Rangers dan Lincoln City itu meninggal dunia minggu lalu akibat sepsis dan kegagalan organ.

Sebelum meninggal dunia, dia pernah menulis bahawa pada awalnya mengaku dia sakit teruk dengan sepsis dan berusaha untuk memujuk keluarganya membawa dia ke hospital.

"Perkhidmatan sosial tidak melakukan apa-apa untuk membantu saya mencari penempatan selama hampir tiga bulan sehingga pasukan undang-undang hospital terbabit masuk campur," katanya.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) membelanjakan 7,000 pound sterling (kira-kira RM37,807) seminggu, untuk menyewa katil direka khas untuknya, dengan penjagaan keseluruhannya dianggarkan sebanyak 40,000 pound (kira-kira RM216,043) sebulan.

Crawford bergambar di atas katil sambil memegang botol arak di rumah jagaan sebelum ini dan menyiarkan gambar itu di media sosial.

Apabila dia didakwa menyerang jururawat beberapa bulan kemudian, peguam berkata, Crawford terlalu berat untuk menghadiri mahkamah di Mansfield, Notts.

Peguam, Michael Little berkata, ada ambulans yang cukup besar untuk memuatkannya, tetapi kemudian pertimbangan terarah bagaimana untuk membawa lelaki itu ke mahkamah.

Crawford dikatakan sudah membelanjakan wang tunai daripada Elaun Sokongan Pekerjaan sebanyak 300 pound sterling (kira-kira RM1,620) setiap dua minggu untuk makanan yang dipesannya dari katilnya.

"Jika orang merasai makanan di tempat ini, anda akan tahu mengapa saya membeli makanan saya sendiri," tulis Crawford.

Dia disabitkan bersalah pada 2018 kerana menyerang empat jururawat di rumah jagaan berhampiran Newark, Notts, dan diarah membayar pampasan kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 6:30 AM