PASUKAN bomba melakukan pencarian kenderaan yang disyaki terjatuh ke dalam sungai di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba melakukan pencarian kenderaan yang disyaki terjatuh ke dalam sungai di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Nasib tiga beranak masih belum diketahui selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka dipercayai terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil, hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, tiga mangsa terbabit adalah Mashitoh Ibrahim, 37, dan dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq Sharudin, 5.

Beliau berkata, Mashitoh adalah guru agama di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, Kuala Ketil.

"Insiden membabitkan kereta disyaki terbabas dan terjatuh ke dalam sungai dan bot penyelamat dengan kekuatan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya yang sedang cuba mengesan mangsa di dalam sungai.

"Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu jam 6.42 petang hari ini.

Beliau berkata, keadaan sungai itu berarus deras manakala tebingnya agak tinggi iaitu tiga meter selain kedalamannya melebihi tiga meter.

Katanya, operasi turut dibantu beberapa bot penduduk kampung yang turut membantu dalam pencarian kenderaan itu.

"Tindakan anggota penyelamat adalah dengan melakukan kerja pencarian di permukaan air namun masih belum dapat mengesan kedudukan kenderaan terbabit.

"Pasukan penyelamat juga turut mendapatkan bantuan bot penduduk kampung untuk menyusuri sungai bagi mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Kedah sudah dimaklumkan kejadian itu untuk membantu pencarian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 11:55 PM