Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Negara mencipta sejarah baru menerusi pelancaran satelit Measat-3d, hari ini.

Satelit Measat-3d yang menggunakan roket Ariane 5 ECA berkenaan berjaya dilancarkan dari European Spaceport di Kourou, French Guiana, 5.50 pagi tadi (waktu Malaysia).

Susulan itu, isyarat telemetri pertama satelit Measat-3d diterima stesen bumi tepat pada jam 6.41 pagi waktu Malaysia.

Pelancaran berkenaan turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Keberadaan satelit berkenaan dijangka dapat merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan yang lebih baik sejajar dengan inisiatif kerajaan menerusi pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Ia bakal menambah baik dengan ketara perkhidmatan Internet dan kadar ketersambungan capaian Internet terutamanya di kawasan luar bandar.

Ia akan memberi kesan positif kepada dua juta rakyat negara apabila menerima faedah daripada ketersambungan Internet sekali gus memberi peluang besar dalam sektor perdagangan maya (eCommerce), pendidikan dan peluang pekerjaan.

Pengoperasian satelit itu juga akan memberi capaian Internet 100 peratus di seluruh negara dengan sokongan kelajuan 100 mbps sebelum 2025.

Untuk rekod, satelit Measat-3d adalah satelit kelapan yang dilancarkan oleh negara dengan membabitkan kos dianggarkan RM1.2 bilion dan mempunyai jangka hayat 18 tahun.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 6:37 AM