CUKUP puas bila dapat mengawal sepenuhnya proses kreativiti.
CUKUP puas bila dapat mengawal sepenuhnya proses kreativiti.
Georgie Joseph

MUZIK dengan melodi riang dan rancak memang sudah sebati dengan kumpulan Why Don't We. Bertepatan dengan jiwa remaja mereka, lagu sebegitu cukup menonjolkan sisi muda-mudi dalam karakter mereka.

Bagaimanapun, kumpulan dianggotai Daniel Seavey, Corbyn Besson, Jonah Marais, Jack Avery dan Zach Herron itu tampil dengan kelainan menerusi lagu baharu mereka berjudul Let Me Down Easy (Lie).

Kumpulan terbabit nyata ingin menyerlahkan sisi jiwa yang lebih beremosi. Suntikan lirik meruntun dan melodi yang sedih jelas menampakkan pembaharuan ketara dalam karya mereka.

Menurut Jonah, mereka memang sengaja memilih rentak lebih sedih dan peribadi untuk lagu berkenaan. Bagi mereka, lagu itu sangat mendalam maknanya kerana ditulis luhur dari hati.

"Selama ini, kami sangat puas apabila berjaya menjentik hati peminat dengan lagu bernada riang. Segalanya jadi lebih bermakna apabila lagu itu berjaya memberikan keriangan buat mereka.

"Namun, kami juga teringin untuk tampil dengan lagu yang lebih peribadi serta sarat emosi. Jadi, kami sengaja tulis lagu ini yang mana cukup tepat untuk dipertaruhkan kali ini.

"Secara peribadi, lagu ini sangat istimewa kerana mempunyai jalan cerita yang memang menjentik emosi. Kami ingin menyentuh hati pendengar dan tahu pasti lagu ini mampu dikaitkan dengan kisah hidup mereka," katanya.

Menjadi pertaruhan pertama untuk lembaran kerjaya tahun ini, lagu itu turut mendapat sentuhan penerbit muzik hebat JKash serta Jack & Coke sekali gus menjadikan karya terbabit lebih dinamik.

WHY Don’t We sentiasa sepakat dalam hal berkarya.
WHY Don’t We sentiasa sepakat dalam hal berkarya.

Menurut Daniel, pengalaman bekerja dengan mereka cukup berharga. Bukan saja kerana sentuhan magis dalam memantapkan lagi lagu berkenaan, sebaliknya banyak perkara baharu dipelajari daripada mereka.

"Ia satu pengalaman yang sangat membuka mata kami. Mereka bukan saja penerbit muzik yang cukup cerdik, bahkan perspektif dalam kreativiti mereka benar-benar menakjubkan.

"Dari segi itu, kami memang sangat-sangat bersyukur kerana pertolongan mereka berjaya mengangkat lagi kualiti kreativiti kami. Kami akan jadikan segala tunjuk ajar mereka sebagai panduan berguna pada projek akan datang," katanya.

Apa yang menarik, kumpulan ini juga mengambil kesempatan untuk ketepikan media sosial tidak lama dulu demi berkarya. Mereka tumpukan menulis lagu sendiri berbanding diberi komposer lain seperti sebelum ini.

Mereka memang sudah lama berhasrat dan memasang impian berkenaan. Semestinya tidak lain untuk serlahkan kemahiran muzikal dalam diri tanpa sekadar bergantung karya orang.

Menurut Corbyn, barulah mereka dapat kepuasan sebenar apabila dapat menunaikan hajat itu. Semestinya mencabar namun menguatkan lagi kesepakatan mereka sebagai sebuah kumpulan.

"Apabila mengawal sepenuhnya proses berkarya, kepuasannya memang lebih jelas. Perasaan itu lebih jelas sangat hidup meskipun banyak masa dihabiskan berkurung dalam studio.

"Sebagai kumpulan, ia juga sebenarnya sangat bagus untuk kami cambahkan idea dan pendapat. Tak perlu bergaduh pun kerana hakikatnya kami memang tidak pernah sekali pun bergaduh.

"Ia lebih mencapai kata putus mengenai mana yang terbaik untuk corak karya kami. Selebihnya, memang seronok apabila setiap keinginan kami berada dalam kawalan sepenuhnya," katanya.

Ada masanya pasti mereka juga tersekat dalam zon selesa dan perlu berbuat sesuatu demi kemajuan. Apapun, mereka berpegang kepada prinsip segala masalah tidak perlu diperbesarkan.

Menurut Jack, mereka lebih suka fikiran tidak diganggu dengan hal-hal yang remeh

. Justeru, mereka buat saja hal sendiri tanpa merasakan ia sulit atau tidak.

"Dalam hal berkarya ini, kita perlu menikmati setiap saat dengan fikiran yang terbuka. Jangan sesekali sulitkan otak untuk mencapai sesuatu yang akhirnya hanya membebankan.

"Kami mengambil pendekatan dengan mengikut saja arus tanpa cuba sulitkan keadaan. Menjadi diri sendiri juga sebenarnya sangat membantu mudahkan segala urusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 6:00 AM