WONG Biying. - FOTO thepaper.cn
WONG Biying. - FOTO thepaper.cn
Agensi

Beijing: Seorang wanita dari wilayah Guangdong, dekat selatan China, tular pada awal bulan ini selepas dilaporkan meraih pendapatan lumayan iaitu lebih 30,000 yuan (kira-kira RM19,530) hanya dengan menjual teks selamat malam.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Wong Biying, 35, menjual teks itu dengan harga bagi satu yuan (kira-kira 65 sen) setiap mesej.

Idea itu tercetus pada 2012 ketika Wong bekerja di sebuah syarikat e-dagang dan membuka kedai di Taobao.

Mesej itu mengandungi kata-kata mesra dan ringkas namun ada kalanya ia mencecah 200 patah perkataan.

"Jika pelanggan mempunyai permintaan khas, saya akan menulis mesej berdasarkan kisah mereka," kata Wong dalam video di media sosial, Douyin.

Wong berkata, pelanggannya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pesakit kanser, kanak-kanak daripada isi rumah ibu atau bapa tunggal.

"Apabila pelanggan membuat pesanan, ramai daripada mereka akan menulis cerita mereka sendiri dan melalui setiap cerita, saya cuba menjiwainya," katanya.

Tambah Wong, dia menerima permintaan luar biasa, malah ada juga mendapatkan khidmatnya untuk menulis peringatan kutipan hutang, kutukan untuk musuh, dan daripada individu yang cuba menjejaki bekas pasangan mereka.

Wong menubuhkan syarikat itu kerana dia sendiri mengasingkan diri kerana kesunyian dan ia menyebabkan insomnia.

Selepas meneliti dalam talian, dia mendapati ramai orang lain mengalami masalah sama.

"Saya fikir saya boleh menghubungkan orang yang tidak dikenali ini untuk menjaga satu sama lain," kata Wong kepada Ziniu News, platform media baharu di China.

Wong mengakui terkejut selepas menerima tempahan pertama beberapa hari selepas perniagaannya dimulakan, walaupun tidak menaruh harapan tinggi.

"Ternyata ramai orang memerlukan perkhidmatan itu," katanya.

Sejak lebih 10 tahun lalu, Wong menghantar 30,000 mesej dan pernah menghantar lebih 300 mesej dalam satu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 6:30 AM