WONG anggap bekerja dengan Benedict Cumberbatch (Doctor Strange) sesuatu yang indah.
WONG anggap bekerja dengan Benedict Cumberbatch (Doctor Strange) sesuatu yang indah.
Sudirman Mohd Tahir


(Yang menemubual pelakon Doctor Strange In The Multiverse Of Madness, Benedict Wong secara virtual, baru-baru ini)

SELEPAS hampir dua minggu ditayangkan, filem terbaharu Marvel, Doctor Strange In The Multiverse Of Madness mencecah kutipan RM3 bilion di seluruh dunia. Angka itu sekali gus bakal menewaskan kutipan filem Doctor Strange yang pertama pada 2016.

Selain jalan cerita yang dipaparkan, filem ini turut membariskan pelakon hebat dengan watak yang dinanti-nantikan penggemar karya ini.

Antara watak yang menjadi sebutan adalah Wong yang dilakonkan Benedict Wong.

Selepas enam tahun, keterujaan penonton terhadap watak Wong tidak pernah berubah. Malah, bagi peminat filem adiwira yang diadaptasi dari komik Marvel ini, kemunculan Wong di samping Dr Strange menarik perhatian ramai.

Bintang kelahiran Manchester, England ini ketika ditemubual baru-baru ini berkata, dia adalah pengumpul komik itu sejak berusia 14 tahun.

"Tawaran yang diterima enam tahun lalu tidak datang bergolek. Kalau nak tahu, saya adalah pengumpul koleksi komik ini sejak berusia 14 tahun. Saya boleh katakan, nak dapatkan koleksi ini seperti satu pertandingan. Malah, saya menghabiskan masa dengan membaca semua siri komik yang dibeli termasuklah Spider-Man. Sekarang nak cari kedai jual komik ini di Manchester sudah tidak ada.

"Siapa sangka dari seorang pengumpul dan peminat setia komik Marvel, saya ditawarkan untuk berlakon dalam filem yang diadaptasi dari satu siri komik mereka iaitu Doctor Strange dengan melakonkan watak Wong. Ia mengubah hidup saya untuk menjadi sebahagian daripada impian ini. Untuk melihat dan bagaimana dunia 'multiverse' ini boleh direalisasikan dan bekerjasama dengan pengarah, Sam Raimi, yang juga legenda. Ia hebat," katanya.

Berkongsi mengenai kerjasamanya dengan Sam Raimi juga pengarah filem Spider-Man, Wong berkata, mereka banyak berbincang bersama.

"Ketika itu saya berada di Australia yang mana kami membincangkan jalan cerita filem ini. Kemudian kami berjumpa dan itu adalah pertemuan pertama kami. Macam dikatakan, dia adalah legenda. Dari genre filem seram kemudian mengarahkan trilogi Spider-Man, dia ada misi tersendiri.

BENEDICT Wong simpan koleksi sejak berusia 14 tahun, peluang berlakon umpama impian  jadi nyata.
BENEDICT Wong simpan koleksi sejak berusia 14 tahun, peluang berlakon umpama impian jadi nyata.

"Pada waktu itu, saya sangat gembira melihat seorang legenda menerangkan cerita ini. Malah, dia memberikan saya kejutan bahawa watak Wong ini akan menjadi besar di samping watak utamanya. Bagi saya, ia adalah hadiah pada hari itu," katanya.

Sementara itu, ditanya pengalamannya bekerja dengan Benedict Cumberbatch yang melakonkan watak Doctor Strange, Wong menyifatkan ia sangat mengagumkan.

"Kalau nak tahu saya mengenali Benedict sebelum dia berlakon dalam siri Sherlock. Ketika melihatnya di pentas yang sentiasa menghiburkan, jelas sekali dia baik hati. Kemasyhuran dimiliki dari siri itu hingga dia muncul dalam filem yang luar biasa, siapa sangka kami akhirnya dapat bekerjasama.

"Kami membangunkan hubungan kerja yang sangat baik. Ketika mana perlu serius, kami berikan yang terbaik. Tapi, apa saja yang kami lalui sepanjang penggambaran filem ini adalah sesuatu yang indah untuk dikongsikan. Bagi saya ia ibarat khazanah negara yang anda perlu tahu," katanya.

Mengenai watak itu, Wong berkata dia melakukan persediaan yang cukup rapi.

"Walaupun watak ini ada menggunakan unsur magik sebagai kuasa, tapi jangan risau ia hanya dalam filem. Tidak berlaku secara realiti. Cuma, yang perlu saya lakukan adalah persediaan diri sebagai pelakon dan lontaran suara.

"Dalam masa sama, terdapat juga adegan yang sangat mencabar fizikal. Itu antara yang saya nak lihat sejauh mana ia boleh bawa watak ini," katanya.

Filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness Strange mengisahkan perjuangan Stephen Strange (Benedict Cumberbatch) menghadapi pelbagai kejadian aneh akibat pintu lintas semesta yang terbuka pasca kejadian di filem Spider-Man No Way Home.

Perkara itu bermula ketika Strange melihat sesuatu dari matanya ketika tidur. Dalam penglihatan itu, susuk yang mirip dirinya sedang berusaha lari dan melawan musuh di sebuah semesta yang aneh. Dia mengalami mimpi buruk selama beberapa hari.

Cumberbatch kembali membintangi filem ini sebagai Doctor Strange, bersama dengan Benedict Wong sebagai Wong, Rachel McAdams sebagai Christine Palmer, dan Chiwetel Ejiofor sebagai Karl Mordo.

Selain itu, sekuel Doctor Strange (2016) ini juga menampilkan Elizabeth Olsen sebagai Wanda/Scarlet Witch dan Xochitl Gomez sebagai America Chavez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 6:00 AM