KEBAKARAN dan asap tebal dilihat di selatan Gaza susulan serangan rejim zionis. FOTO Reuters
KEBAKARAN dan asap tebal dilihat di selatan Gaza susulan serangan rejim zionis. FOTO Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Israel melancarkan serangan udara pertama di Semenanjung Gaza, pada Selasa, sebagai tindak balas serangan roket dari Palestin ketika ketegangan memuncak di sekitar tapak suci Baitulmaqdis, hujung minggu lalu.

Siren amaran dibunyikan di selatan Israel pada malam Isnin selepas roket dilepaskan dari kawasan yang dikawal oleh kumpulan Hamas menjadikan ia kejadian pertama seumpama itu, sejak awal Januari, lapor AFP

Peluru dilancarkan itu terhempas ke dalam laut di luar Tel Aviv.

"Satu roket ditembak dari Semenanjung Gaza ke wilayah Israel dan berjaya dipintas sistem pertahanan udara," kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Beberapa jam kemudian, tentera udara Israel berkata pihaknya melancarkan serangan ke tapak pembuatan senjata Hamas sebagai tindakan balas.

Hamas mendakwa menggunakan 'senjata antipesawat' untuk menentang serangan udara yang tidak menyebabkan kemalangan jiwa, menurut saksi dan sumber keselamatan di Gaza.

Tiada pihak di kawasan yang didiami 2.3 juta penduduk itu mengaku bertanggungjawab dalam serangan roket itu tetapi ia berlaku selepas beberapa siri serangan di Israel dan ketegangan di tapak suci di Baitulmaqdis.

Israel menuduh Hamas bertanggungjawab terhadap semua roket yang dilancarkan ke Israel.

Insiden itu, pertama sejak Januari, berlaku beberapa minggu selepas konflik Israel dan Palestin di perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Bernama melaporkan, pada Jumaat lepas, sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel yang menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa selepas solat subuh.

Susulan itu, rakyat Palestin mengadakan protes dan menyeru negara Islam melindungi Al-Aqsa.

Beberapa serangan susulan juga dilaporkan berlaku di perkarangan masjid berkenaan selepas itu.

Keganasan pihak berkuasa Israel ini menimbulkan kebimbangan berulangnya tragedi serangan udara ke atas Gaza pada 10 hingga 21 Mei 2021 yang menyebabkan lebih 250 rakyat Palestin terbunuh dan 1,900 lagi cedera.

Dalam pada itu, seramai 23 penduduk Palestin terbunuh susulan episod ketegangan sejak 22 Mac lalu, menurut angka kiraan AFP.

Ia termasuk Hanan Khudur, 18, remaja perempuan Palestin yang meninggal dunia pada Isnin lalu selepas ditembak tentera zionis, di kampung Faquaa, dekat bandar Jenin.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 10:05 AM