GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Sebanyak 10,177 kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat semalam menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti virus berkenaan kini meningkat kepada 4,281,440 kes.

Menerusi data yang dikongsikan dalam laman sesawang COVIDNOW, jumlah itu membabitkan 10,124 kes penularan tempatan dengan 53 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Negeri tertinggi yang mencatatkan pertambahan kes baharu termasuk kes import ialah Selangor yang melaporkan pertambahan empat angka dengan 5,686 kes dicatatkan setakat semalam.

Ia diikuti dengan Kuala Lumpur iaitu sebanyak 1,008 kes, Perak (583), Johor (544), Negeri Sembilan (519), Pulau Pinang )372), Sarawak (350), Kedah (311), Pahang (214), Melaka (206), Terengganu (137) dan Sabah (106).

Selain itu turut mencatatkan pertambahan kes baharu ialah di Kelantan 64 kes baharu diikuti Perlis (29), Putrajaya (28) dan Labuan dengan 20 kes.

Perkembangan itu menjadikan setakat semalam sebanyak 153,463 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini dan daripada jumlah yang dinyatakan itu sebanyak 97.7 peratus bersamaan 149,994 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, sebanyak 1.9 peratus atau 2,964 kes pula sedang dirawat di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (310), ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan (108) dan ICU (87).

Sementara itu, mengulas mengenai kes baharu yang dilaporkan semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah jangkitan baharu itu paling tinggi membabitkan kategori satu atau tidak mempunyai gejala iaitu sebanyak 56.67 peratus bersamaan 5,767 kes.

"Ia diikuti kategori dua dengan 4,347 kes, kategori tiga (31), kategori lima (18) dan kategori empat (14). Secara keseluruhannya, daripada 63 kes dalam kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 38 kes membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas.

"Selain itu 35 kes pula membabitkan individu yang mempunyai komorbid, sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (22), sudah menerima dos penggalak (21), tidak divaksin atau belum lengkap vaksin (20) dan ibu mengandung (2)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kes kematian akibat jangkitan Covid-19 di negara ini, beliau berkata, setakat semalam terdapat 21 korban dilaporkan dan tiada kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Negeri yang mencatatkan kes kematian ialah Johor dengan empat kes, masing-masing tiga kes di Kedah, Pahang dan Selangor, masing-masing dua kes di Perak dan Sarawak serta masing-masing satu kes di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis serta Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 15,132 kes pulih dilaporkan menjadikan sehingga kini sebanyak 4,128,963 individu sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 12:26 PM