Khairy. FOTO Arkib NSTP
Khairy. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta berikutan hak pemilikan dan pengurusan aplikasi itu diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, kerajaan yang memiliki sepenuhnya MySejahtera memutuskan pada 26 November lalu bahawa KKM sebagai pemilik utama pengurusan kesihatan awam negara ini, termasuk semua data yang diterima aplikasi itu.

"Keputusan kerajaan pada 26 November 2021 turut menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan untuk melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun selaras dengan tatacara perolehan kerajaan.

"Seterusnya Kementerian Kewangan, melalui surat bertarikh 28 Februari 2022 bersetuju meluluskan permohonan KKM untuk melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi MySejahtera dan dimuktamadkan di peringkat kementerian itu.

"Proses rundingan ini sudah dimulakan dan KKM akan memastikan due diligence dilakukan bagi memelihara kepentingan Kerajaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau merujuk isu pemilikan MySejahtera yang dibangkitkan beberapa pihak termasuk kenyataan dibuat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk 'Penjualan Aplikasi MySejahtera Kepada Syarikat Swasta.

Beliau berkata, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.

"Sehubungan itu, data MySejahtera tidak boleh dikongsi KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.

"Selain itu, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera sahaja.

"KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejehtera tanpa ragu ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn Bhd (KPISOFT), yang membangunkan aplikasi MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi ini bermula 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

"Perkara ini adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang menawarkan penggunaan aplikasi MySejahtera kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

"Selepas tamat tempoh CSR itu, kerajaan pada 31 Mac 2021, bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan.

"Aplikasi MySejahtera diguna pakai kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya.

"Justeru, kerajaan meneruskan kerjasama dengan pihak syarikat dalam melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan pada hari ini," katanya.

Sehingga kini katanya, MySejahtera mempunyai lebih 10 modul serta 38 juta pengguna berdaftar terdiri daripada warganegara, bukan warganegara dan pengembara.

Sebelum ini, Anwar meminta penjelasan kerajaan mengenai isu penjualan aplikasi itu kepada syarikat swasta serta mempertikaikan mengapa penjualan aplikasi itu tidak dibuat melalui tender terbuka atas dasar ketelusan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 6:49 PM