Freddie Beckitt menawarkan khidmat unik itu dengan bayaran 20 pound sterling (kira-kira RM119) untuk tempoh sejam.
Freddie Beckitt menawarkan khidmat unik itu dengan bayaran 20 pound sterling (kira-kira RM119) untuk tempoh sejam.
Agensi

London: Seorang lelaki mencari wang mudah dengan beratur sebagai wakil pembeli di gedung beli-belah terkemuka.

Freddie Beckitt menawarkan khidmat unik itu dengan bayaran 20 pound sterling (kira-kira RM119) untuk tempoh sejam.

Baginya, pekerjaan terbaharu itu menjadi kebiasaan memandangkan ramai warga London yang terpaksa beratur panjang untuk membeli barangan dan mendapatkan tiket untuk acara tertentu.

Pada hari yang dianggap bertuah, lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan mampu meraih sehingga 160 pound sterling (kira-kira RM903).

Namun, pekerjaan ini memerlukan seseorang itu mempunyai sifat sabar kerana ada kala perlu beratur sehingga lapan jam.

Freddie yang berasal dari Fullham berkata, pekerjaannya kini dianggap terbaik kerana dia beratur untuk membeli tiket persembahan di Apollo yang menjadi lokasi acara hiburan utama di London.

Bercakap kepada The Sun, Freddie berkata, dia turut bekerja selama lapan jam untuk beratur bagi pelanggan yang mahu mendapatkan koleksi terkini daripada Christian Dior.

Kebanyakan daripada pelanggannya untuk tugasan itu individu berusia pertengahan 60-an.

"Tempoh sebenar saya beratur hanya tiga jam. Tapi pelanggan mahu saya tunggu hingga mereka tiba maka ia menambah pendapatan saya," katanya.

Pelanggan Freddie datang daripada pelbagai latar belakang dan mempunyai kemampuan untuk membayar khidmatnya.

Selain itu, pelanggannya terdiri daripada pesara yang sudah berusia dan tidak mampu untuk beratur bagi tempoh masa yang lama.

Apabila musim panas tiba, Freddie lebih sibuk kerana pelbagai acara dianjurkan kerana ia memerlukan seseorang untuk beratur panjang.

Dalam platform pengiklanan Taskrabbit, dia mengiklankan perkhidmatan menjaga haiwan peliharaan, pembungkusan dan berkebun.

"Taskrabbit membolehkan anda mengiklankan pelbagai pekerjaan yang pelik dan pelanggan boleh memilih mengikut kesesuaian keperluan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 6:30 AM