FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Terdesak mahu menggunakan wang ketika berdepan kesukaran sepanjang pandemik Covid-19 menyebabkan ada pekerja yang diamanahkan mengurus wang syarikat berpura-pura menjadi mangsa samun atau rompakan.

Malah, mereka dikesan menggunakan duit itu untuk melangsaikan hutang peribadi, kenderaan dan sebagainya dengan membuat ribuan laporan polis palsu untuk menutupi dosa.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, berdasarkan statistik pada 2019, polis menerima laporan palsu di seluruh negara membabitkan sebanyak 577 kes.

Bagaimanapun kes laporan palsu meningkat kepada 767 kes pada 2020 sebelum meningkat hampir sekali ganda kepada 1,253 kes setakat penghujung tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan kes membuat laporan polis palsu dapat dilihat sepanjang pandemik Covid-19 apabila ada yang terdesak memerlukan wang sanggup menipu dengan membuat laporan palsu kononnya mereka disamun.

"Bukan itu, tindakan membuat laporan polis palsu seolah-olah menjadi trend orang ramai di luar sana yang kehilangan MyKad. Mereka membuat laporan polis palsu kononnya disamun bagi mengelak perlu membayar denda jika mahu mendapatkan MyKad baharu.

"Kita tidak menolak peningkatan kes laporan polis palsu ini ada kena mengena dengan pandemik Covid-19 kerana ada yang terdesak memerlukan wang hingga sanggup menipu polis.

"Mereka ini pecah amanah namun mendakwa wang itu tercicir atau menjadi mangsa samun," katanya dalam temubual eksklusif bersama Harian Metro di pejabatnya di Bukit Aman, baru-baru ini.

Abd Jalil berkata, kebanyakan pekerja tidak kira penjawat awam atau syarikat swasta yang diamanahkan wang dalam bentuk tunai untuk urusan kerja terdedah melakukan penipuan ini.

"Apabila mereka membuat laporan polis palsu, akan ada siasatan susulan dilakukan pegawai polis. Jika laporan ini didapati palsu, ia pastinya menyusahkan pegawai penyiasat yang turun ke lapangan.

"Berdasarkan beberapa kes disiasat sebelum ini, ada 'mangsa' mendakwa disamun namun siasatan polis mendapati wang itu dibahagi sesama rakan suspek.

"Ada juga yang menggunakan wang dilarikan itu untuk menjelaskan bayaran ansuran kereta selama 33 bulan secara tunai.

"Tidak cukup dengan itu, ada yang boleh melangsaikan hutang peribadi di bank secara tunai sedangkan kita tahu dia tidak berkemampuan," katanya.

Sehubungan itu, polis menasihati majikan yang memberi tanggungjawab kepada pekerjanya menguruskan wang syarikat supaya lebih berhati-hati.

"Pegawai polis sudah terlatih dalam mengenal pasti sama ada 'mangsa' membuat laporan palsu atau tidak.

"Jika benar disamun, sudah tentu kami pelik apabila ada mangsa masih boleh ketawa ketika disoal siasat. Malah ada yang memberikan keterangan tidak konsisten serta mengelirukan polis," katanya.

Selain itu katanya, pihak polis turut menerima laporan polis palsu kononnya mangsa disamun sedangkan laporan itu dibuat hanya kerana bimbang dimarahi keluarga atau membabitkan isu peribadi.

"Walau apa sekalipun alasan, tindakan membuat laporan palsu tetap boleh diambil tindakan dan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara enam bulan atau denda RM2,000," katanya.

Abd Jalil Hassan.
Abd Jalil Hassan.

Tingkat sistem keselamatan cegah pecah amanah

Majikan disaran meningkatkan tahap sistem dan prosedur keselamatan operasi syarikat bagi mengelak berlakunya pecah amanah dalam kalangan kakitangannya.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Datuk Seri Halim Ishak berkata, pihak syarikat janganlah terlalu kedekut untuk melabur dalam sistem keselamatan dengan teknologi terkini.

Menurutnya, bagaimanapun dalam situasai pandemik Covid-19 ini juga, majikan perlu menjaga kebajikan pekerja mereka bagi mengelak sikap berdendam dan perbuatan pecah amanah.

"Tidak dinafikan ramai pekerja yang terkesan dari sudut kewangan akibat daripada pandemik ini.

"Ia akan menggalakkan lagi perbuatan penipuan dan pecah amanah sekiranya pihak majikan tidak mengambil langkah drastik menambah baik sistem keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) operasi kewangan," katanya kepada Harian Metro.

Halim berkata, majikan juga perlulah mengambil berat dan menjaga kebajikan pekerja di bawah syarikat mereka yang juga aset penting selama mereka bekerja di situ.

"Saya juga menyarankan pihak majikan turut membantu pekerja dengan memberikan bantuan pinjaman kewangan kepada pekerja yang menghadapi masalah kewangan," katanya.

Azab dahsyat pecah amanah

Orang yang pecah amanah dan tidak melaksanakan apa yang yang dipertanggungjawabkan serta menyeleweng adalah salah satu daripada tiga sifat golongan munafik.

Penceramah terkenal Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood berkata, amanah adalah sifat terpuji yang mesti wujud dalam diri setiap manusia.

"Pada asasnya ia mesti diamalkan pada setiap saat di mana sahaja berada terutamanya dalam menjalankan amanah di pejabat, apatah lagi mendapat hasil atau gaji daripada apa yang dikerjakan.

"Maksud sabda Rasullullah SAW 'empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: Jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram).

"Menurut riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda bahawa, 'sesiapa yang menipu, maka bukanlah ia daripada golongan kami'. Kita harus ingat bahawa setiap orang akan disoal mengenai amanah dan tanggungjawab yang dipikulnya pada hari perhitungan di akhirat kelak," katanya.

Beliau berkata, Allah SWT menjanjikan balasan dan azab yang dahsyat bagi orang yang melakukan pecah amanah dan tiada siapa pun yang dapat lari atas setiap kejahatan yang dilakukan sama ada di dunia atau pun di akhirat.

"Islam melarang perbuatan menipu dengan pecah amanah walaupun dalam apa jua keadaan. Islam mengajar umatnya bersabar di dalam menghadapi kesusahan, di samping berikhtiar dan berdoa kepada Alllah SWT," katanya.

Beliau berkata, setiap orang akan diuji sama ada dalam bentuk kesenangan dan kesusahan.

"Iman kepada Allah SWT sahajalah benteng paling kuat menghadapi apa juga keadaan. Perbuatan menipu dengan pecah amanah ketika mengalami kesusahan adalah sangat dilarang di dalam Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 12:00 PM