KAKITANGAN Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai sedang mengambil sampel ujian saringan Covid-19. FOTO DANIAL SAAD
KAKITANGAN Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai sedang mengambil sampel ujian saringan Covid-19. FOTO DANIAL SAAD
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kes harian Covid-19 merekodkan peningkatan dengan sebanyak 3,764 kes baharu dilaporkan hari ini berbanding 3,229 semalam menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu ialah 2,820,927 setakat 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 47 (1.2 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 3,717 (98.8 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Daripada 3,764 kes itu, sebanyak 522 adalah kes import dan 3,242 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 160 kes dan 72 kes memerlukan bantuan pernafasan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 3,254 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 2,747,457 orang.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 17 kluster baharu direkodkan dengan 214 kluster masih aktif.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.00 dengan Kuala Lumpur merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.09 setakat semalam.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan yang sering ditekankan antaranya menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan serius serta bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok.

"Pengambilan vaksin dan dos penggalak dapat melindungi orang sekeliling kita daripada kemungkinan jangkitan Covid-19.

"Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 3:27 PM