GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Perak ditahan polis selepas ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya positif dadah.

Adun itu dilaporkan ditahan di sebuah restoran yang berlatar belakang seolah-olah seperti kelab malam dekat Perai, di sini, pada 9 malam tadi.

Difahamkan, restoran itu dahulunya adalah sebuah kelab malam, tetapi kini beroperasi menggunakan lesen restoran dan susun aturnya masih seperti keadaan asal (kelab malam).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah mengesahkan mengenai penahanan Adun itu dan semasa serbuan terdapat 82 individu di situ.

Bagaimanapun, Mustafa Kamal enggan mengulas lanjut memandangkan perkara itu masih dalam siasatan polis.

"Polis mengadakan serbuan di premis itu dan melakukan ujian saringan air kencing terhadap 36 pelanggan termasuk Adun berkenaan sebelum dia didapati positif.

"Adun itu kini direman selama sehari dan kita akan menyelesaikan siasatan sebelum membebaskan beliau dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Adun itu akan dibebaskan sementara menunggu laporan patologi siap.

Menurutnya, ujian awal akan diserahkan kepada pakar patologi untuk pengesahan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 6:56 PM