Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Tanpa meminta satu sen pun duit, sekumpulan pakar membaiki barangan elektrik dan elektronik tampil membantu membaikpulih ratusan barangan elektrik terendam banjir di sekitar Shah Alam sejak 20 Disember lalu sehingga hari ini.

Idea itu tercetus apabila melihat banyak barang elektrik seperti periuk nasi, dapur gas, mesin pengisar, ketuhar, mesin basuh, peti sejuk, televisyen, mesin pengadun roti, komputer riba dan kipas yang terendam banjir dibuang begitu saja tanpa diperiksa terlebih dulu.

Pengurus operasi itu, Hisham Misripin berkata, segalanya bermula dengan pengalaman membantu mangsa banjir yang mana kebiasaannya barangan elektrik terendam dibuang walaupun masih boleh dibaiki.

"Pada 20 Disember lalu, melalui media sosial, saya mengajak individu pakar membaiki barangan elektrik dan elektronik tampil membantu, untuk kurangkan bebanan dan kerugian mangsa banjir, kita ikhtiar dulu sebelum dibuang, mana tahu elok selepas dibaiki.

"Bukan seorang dua tetapi ribuan mangsa mangsa banjir terkesan, kasihan mereka. Jadi saya juga minta mangsa banjir tampil bawa barangan yang rosak ke lokasi ditetapkan.

"Semua lokasi memang berhampiran mereka, mengikut hari, tarikh serta masa yang dijadualkan. Sebolehnya kita berusaha memudahkan urusan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hisham berkata, sepanjang pasukannya melakukan operasi 'menyelamat' barangan elektrik itu, 90 peratus tiada kerosakan selepas pemeriksaan secara teliti dan terperinci dibuat oleh pasukannya.

ANTARA barangan elektrik yang masih boleh dibaiki walaupun terendam banjir. FOTO ihsan pembaca
ANTARA barangan elektrik yang masih boleh dibaiki walaupun terendam banjir. FOTO ihsan pembaca

Katanya, rata-rata barangan elektrik yang diterima daripada mangsa banjir bernilai antara bernilai RM50 hingga RM200,000.

"Apabila kami terima barangan elektrik, kami bersihkan kemudian keringkan terlebih dulu sebelum diperiksa serta buat ujian bagi memastikan ia boleh berfungsi dengan baik.

"Tenaga pakar ini akan mengesan kerosakan peralatan, beri nasihat boleh baiki atau tidak. Pembaikan kecil yang tidak memerlukan gantian komponen dilakukan segera. Ada barangan yang hanya mengambil masa 15 minit, ada satu jam, macam komputer riba ambil masa sehingga dua jam.

"Kebanyakan memang tidak rosak langsung, cuma terendam di dalam air banjir saja tetapi mungkin mereka kurang pengetahuan mengenai perkara ini sebab itu kami tampil membantu secara percuma," katanya.

Beliau berkata, inisiatif julung kali itu juga sebagai tanda sokongan moral kepada mangsa banjir untuk kembali membina kehidupan selain mengelakkan pembaziran serta menjaga alam sekitar.

"Sekurang-kurangnya wang bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan serta sumbangan orang ramai, boleh digunakan oleh mereka untuk membeli keperluan lebih penting bagi mereka membina semula kehidupan selepas dilanda banjir.

"Secara keseluruhannya, kira-kira 30 individu termasuk penuntut Kolej Kemahiran Tinggi MARA Petaling Jaya juga tenaga pakar individu yang membawa sendiri peralatan khas untuk baikpulih barang elektrik berkenaan.

PAKAR elektrik dan elektronik membaikpulih barangan elektrik mangsa banjir di Shah Alam secara percuma. FOTO ihsan pembaca
PAKAR elektrik dan elektronik membaikpulih barangan elektrik mangsa banjir di Shah Alam secara percuma. FOTO ihsan pembaca

"Kami mendapat sokongan tenaga kerja serta lokasi daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Eco Free Market (EFM), Pusat Pembangunan Teknikal Negeri Selangor (STDC), Tukang Apa Hari Ini serta Kakirepair by KakiDIY serta pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Shah Alam," katanya.

Dalam pada itu katanya, inisiatif membantu mangsa banjir yang berdepan masalah sama akan diteruskan jika ada keperluan di masa akan datang.

"Kita tidak meminta sebarang musibah seperti banjir, bagaimanapun jika diperlukan kami akan memberi sumbangan tenaga dari segi baikpulih barangan elektrik kepada mangsa banjir juga di masa akan datang, Insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 11:33 AM