RAZARUDIN ketika sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik. FOTO Fariz Iswadi Ismail
RAZARUDIN ketika sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis berjaya menumpaskan 279 sindiket dadah di seluruh negara sepanjang tahun ini termasuk ada yang diketuai oleh golongan kenamaan bergelar Datuk.

Ada juga sindiket diketuai individu bergelar usahawan yang berselindung di sebalik perniagaan mereka untuk menjalankan pengedaran dadah di dalam dan luar negara.

Kewujudan mereka yang digelar 'kingpin' atau raja dadah sebagai dalang besar kegiatan pengedaran dadah di negara ini dibimbangi memonopoli ekonomi gelap seterusnya merugikan negara.

Menyuarakan kebimbangan itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, pemain ekonomi gelap itu berselindung di sebalik perniagaan bersih untuk mengedar dan menjual dadah.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mendapati 'kingpin' menjalankan perniagaan lain yang sah bertujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa antaranya pelancongan, pengangkutan, perkapalan, kilang, hotel, logistik dan pelbagai lagi.

"Kita (polis) akui memang sukar untuk mengenalpasti 'kingpin' kerana kebanyakan tangkapan yang dilakukan sebelum ini membabitkan ahli sindiket bawahan. Cabaran paling besar disebabkan mereka menjalankan perniagaan untuk elak dikesan polis.

"Selagi mereka tidak ditangkap, selagi itu mereka akan boleh rekrut ahli lain. Namun hasil siasatan dan maklumat awam, pengedar terbabit boleh dikesan dan ditumpaskan.

"Setakat ini sebanyak 279 sindiket dadah ditumpaskan membabitkan seramai 1,147 pengedar termasuk kingpin berjaya ditahan tahun ini sehingga tempoh November lalu," katanya pada sidang media khas pencapaian JSJN di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Razarudin berkata, polis kini giat memburu seorang ahli perniagaan yang juga 'kingpin' dipercayai bersembunyi di sebuah negara Asia Tenggara.

Katanya, lelaki berasal dari utara tanah air itu melarikan diri ke luar negara sebaik mengetahui polis menumpaskan sindiket didalanginya selain sudah mengeluarkan waran tangkap bagi menahannya.

"Kita mendapatkan bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan kedudukan lelaki itu. Malah, kita mempunyai kerjasama rapat dengan polis narkotik dari beberapa negara luar untuk mengesan sindiket pengedaran dadah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kewujudan pemain ekonomi gelap itu boleh memberi impak terhadap negara.

Menurutnya, kerajaan dianggarkan menanggung kerugian RM158,131,029.29 iaitu nilai sitaan aset yang dipercayai tidak membayar cukai kerana menjalankan kegiatan mengedar dadah.

Bagaimanapun, katanya, polis sentiasa berusaha memastikan perkara itu tidak berlaku dan terus memperhebatkan risikan serta operasi dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 1:48 PM