PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin  Mohd Amin memberi kata-kata nasihat dalam sidang maya dengan pemain Harimau Malaya sebelum perlawanan menentang Indonesia Ahad ini. FOTO IHSAN FAM
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi kata-kata nasihat dalam sidang maya dengan pemain Harimau Malaya sebelum perlawanan menentang Indonesia Ahad ini. FOTO IHSAN FAM
Firdaus Hashim


Skuad Harimau Malaya bersedia meleburkan tiga kelebihan pasukan Indonesia dengan menggunakan pengalaman sebagai senjata utama pasukan negara.

Pantas, bermotivasi dan bersemangat waja antara tiga elemen kekuatan skuad Garuda kali ini yang diperkuatkan ramai pemain muda dari skuad Piala Dunia Remaja negara itu.

Bagaimanapun, pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe tampaknya sudah memiliki formula untuk mengatasi kelebihan lawan itu apabila percaya anak buahnya tetap mempunyai kelebihan dari aspek pengalaman.

"Indonesia membawa ramai pemain muda yang laju dan cukup bersemangat pada kejohanan kali ini. Kepantasan pemain Indonesia itu adalah senjata utama mereka selain motivasi yang tinggi dimiliki mereka.

"Namun saya lihat pengalaman mungkin memihak kepada kita dan berharap pemain dapat bersedia dan fokus terutama ketika menyerap asakan Indonesia nanti.

"Kita kena kurangkan kesilapan dan jika kita dapat lakukannya, keputusan boleh berpihak kepada kita," katanya yang disasarkan mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Skuad negara wajib menang apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional, malam esok, jika mahu meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

Mengulas lanjut Cheng Hoe berkata, pemainnya perlu menggunakan baki rehat untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal yang dilihat akan menjadi kunci kemenangan Harimau Malaya.

"Ada masa lagi dua tiga hari ini, gunakan sebaiknya untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal. Fikiran dan minda pemain perlu positif selain mereka perlu percaya dengan prestasi yang dimiliki ketika bermain menentang Indonesia.

"Sebab kita jangka Indonesia kemungkinan akan bermain secara bertahan dan hanya perlu seri untuk mara ke peringkat seterusnya. Paling penting kita kena turun dengan suasana dan persediaan yang terbaik," katanya.

Malaysia kini mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan selepas menewaskan Kemboja 3-1, Laos 4-0 dan tumbang 0-3 di tangan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:50 AM