SIMPAN harapan besar lagu Goodbye Hello mara ke AJL36.
SIMPAN harapan besar lagu Goodbye Hello mara ke AJL36.
Georgie Joseph


OGOS lalu menjadi detik paling sayu dalam hidup penyanyi Syamel. Pemergian bonda tercintanya, Allahyarhamah Wan Faaizah Karim, 55, menjadikan dunianya gelap seketika kerana kehilangan itu terlalu besar.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 28, sedaya upaya menguatkan dirinya sejak itu. Namun, ternyata bukan mudah menerima pemergian insan yang terlalu bermakna dalam hatinya.

Meski jasad ibu sudah tidak bersamanya, segala kenangan bersama arwah tetap tersemat kuat dalam ingatannya. Disebabkan itu juga, dia memutuskan untuk dedikasikan lagu baharunya berjudul Bila Kau Tiada buat ibu tercintanya.

Syamel akui, proses menghasilkan lagu itu jelas menjentik setiap inci emosinya. Tiada sesaat dirinya tidak mampu menahan kepedihan teringat raut wajah ibunya. Kerinduannya terlalu berat mencengkam.

Mendapat sentuhan susunan komposer Sharon Paul, fokusnya untuk melunaskan lagu ciptaan sendiri cukup besar dugaannya ketika di studio rakaman. Dia bertarung antara tewas dengan emosi dan cuba menyalurkan jiwa sebaiknya dalam lagu itu.

"Jujur saya katakan bahawa ketika memasuki studio milik Sharon, hati rasa berdebar kerana perlu mempersiapkan mental serta emosi buat lagu ini. Sehinggakan saya terpaksa ulangi beberapa kali sehingga proses rakaman selesai sepenuhnya.

"Namun, Sharon mengerti dengan apa yang cuba saya sampaikan supaya 'jiwa' itu lagi kuat dalam nyanyian saya. Ini kerana saya pun sudah beberapa kali bekerjasama dengan beliau sebelum ini," katanya.

Suami kepada penyanyi Ernie Zakri itu juga tahu betapa rasa kehilangan orang tersayang pastinya sudah dirasai ramai orang. Memang asalnya dicipta khas untuk ibunya, namun dia percaya pendengar yang mengalami kesedihan serupa pasti memahaminya.

Bukan mahu meratapi mereka yang sudah tiada, sebaliknya Syamel cuma ingin berlagu dalam kerinduan dan reda. Baginya, lagu itu sebagai tanda ingatan betapa bermaknanya individu tertentu dalam hidup mereka.

"Lagu Bila Kau Tiada memang sengaja saya ciptakan bagi mengingati umi untuk selamanya. Secara umumnya ia juga boleh ditujukan buat sesiapa sahaja seperti isteri, suami, ibu dan bapa mahupun kekasih.

"Kiranya ia juga boleh diletakkan dalam pelbagai situasi mengenai seseorang yang reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi. Pada masa sama terlampau rindu dengan orang tersayang yang sudah pergi buat selamanya," katanya.

Tidak dinafikan, tahun ini menjadi tahun yang sarat dengan suka duka dalam hidup Syamel. Baginya, semangat diri perlu terus kental kerana meskipun kini ibunya tiada, dia dikurniakan anugerah hidup lain yang cukup bermakna besar iaitu seorang isteri serta karier seni.

"Saya sudah kehilangan penyokong nombor satu saya iaitu umi. Arwah yang selalu berada bersama saya ketika saya mula-mula masuk ke bidang seni selain ayah dan ahli keluarga yang lain.

"Namun, kini saya bersyukur dengan kehadiran Ernie sebagai suri hidup yang menyerikan kedukaan saya. Ditambah pula dengan kehadiran permata hati yang bakal tiba nanti insya-allah," katanya.

Dalam pada itu, besar harapan Syamel supaya lagu itu turut diterima baik sebagaimana besar maknanya kepada dirinya. Dia berhajat lagu itu bakal memberikan ketenangan buat semua yang merindui orang tersayang sudah tiada.

"Saya berharap lagu Bila Kau Tiada dapat diterima semua. Dan semoga ia menjadi lagu 'peneman' kepada mereka yang kehilangan dan boleh didengar apabila mereka terlampau merindukan seseorang.

"Selain itu, saya juga ingin menyarankan rakyat Malaysia sentiasa menjaga diri masing-masing dan jangan menjadi 'ganjil'. Tetap patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan, selain belajar beradaptasi dengan Covid-19 pada masa akan datang," katanya.

Idam kembali ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL)

Dalam pada itu, Syamel turut merakamkan rasa syukur apabila lagu duetnya bersama Ernie iaitu Goodbye Hello layak ke Semi Final Muzik Muzik 36 (SFMM36). Semestinya ia cukup membawa makna besar buat pasangan itu.

Menurutnya, mereka pasti tetap memberikan kerja keras untuk memastikan persembahan mereka terbaik. Dia tidak menafikan menyimpan harapan besar untuk kembali bertanding di AJL36 pula.

"Terima kasih buat peminat serta produksi yang memungkinkan lagu kami mara ke peringkat itu. Walaupun sudah pernah merasa pentas AJL sebelum ini, namun keterujaan kami tetap sama untuk tampilkan persembahan megah.

"Apa yang pasti, kami berazam untuk tunjukkan persembahan sebaik mungkin bagi mengekalkan momentum persembahan sebelum ini. Kalau ada rezeki ke AJL, tentu sekali kami syukurinya tak terhingga," katanya.

Berkongsi mengenai perasaan bakal menerima anggota keluarga baharu, Syamel jelas tidak sabar bergelar bapa. Semestinya terdetik juga rasa risau, namun berharap semua mendoakan kesihatan Ernie dan kandungan dipermudahkan.

"Alhamdulillah, kami suami isteri menanti kelahiran cahaya mata pertama. Dalam beberapa bulan lagi kami akan menerima anggota keluarga baharu dan tak sabar rasanya bergelar ibu dan bapa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 6:00 AM