KIRAN bergadai nyawa demi menyelamatkan anaknya. FOTO agensi
KIRAN bergadai nyawa demi menyelamatkan anaknya. FOTO agensi
Agensi

New Delhi: Kasih seorang ibu menyebabkan dia nekad mengejar harimau bintang yang melarikan anak lelakinya ketika mereka duduk bersantai di pondok di sebuah taman negara di India.

CNN melaporkan insiden itu berlaku pada 30 November lalu.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan, ketika kejadian kanak-kanak dipercayai berusia lima tahun itu duduk di pondok bersama ibu dan adik-beradiknya.

Seekor harimau bintang menghampiri mereka sebelum melarikan kanak-kanak berkenaan.

Pengarah Taman Negara Sanjay-Dubri dan Rizab Harimau di Madhya Pradesh, Y P Singh berkata, ibu kanak-kanak terbabit dikenali Kiran Baiga terus melompat sebelum mengejar harimau berkenaan sambil menjerit.

Seperti di taman negara lain di India, Sanjay-Dubri mempunyai zon yang menjadi habitat hidupan liar.

Ini dikelilingi zon penampan di mana sebahagian individu tinggal bersama haiwan liar yang bebas berkeliaran.

Singh berkata, keluarga itu menetap di perkampungan Badi Jhiriya, yang termasuk dalam zon penampan rizab tidak berpagar.

"Wanita itu duduk di pondok bersama anak-anaknya ketika harimau bintang itu datang.

"Haiwan itu mengambil seorang anaknya dan berlari apabila wanita itu mengejarnya, menjerit dan lebih ramai orang muncul. Akhirnya harimau bintang itu melepaskan mangsa dan lari.

"Mangsa cedera ringan tetapi kini pulih sepenuhnya. Dia tidak cedera sangat tetapi gigi harimau bintang itu terkena kulitnya. Mangsa dimasukkan ke hospital dan dalam keadaan baik sekarang," kata Singh

Walaupun dipanggil rizab harimau, taman itu adalah habitat kepada pelbagai haiwan termasuk 32 spesies mamalia antaranya harimau bintang.

Singh berkata, pasukan hidupan liar sentiasa memantau wilayah itu.

"Seekor harimau bintang tidak hiraukan teras atau zon penampan, tiada sempadan tetap untuknya.

"Hutan ini dipantau pegawai hutan tetapi tidak dapat mengesan setiap pergerakan haiwan liar.

"Anda hanya boleh menjejak haiwan yang berkolar, haiwan lain bebas bergerak," katanya.

Shivraj Singh Chouhan, Ketua Menteri Madhya Pradesh menerusi Twitter pada Selasa memaklumkan ibu mangsa mengejar haiwan itu sejauh satu kilometer (km).

"Keberanian menghadapi kematian jelas menunjukkan sifat keibuan. Mewakili rakyat, saya mengucapkan tahniah kepada Puan Kiran Baiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:30 AM