RADZI menjelaskan situasi terkini pelajar SBP Sekolah Seri Puteri yang positif Covid-19. FOTO Facebook Datuk Dr Radzi Jidin
RADZI menjelaskan situasi terkini pelajar SBP Sekolah Seri Puteri yang positif Covid-19. FOTO Facebook Datuk Dr Radzi Jidin
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 65 murid Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang positif Covid-19 dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang, hari ini.

Ia disahkan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin yang hadir ke sekolah itu untuk memantau keadaan pelajar, malam ini.

Beliau berkata, pada mulanya seorang guru dijangkiti Covid-19, malah saringan kontak rapat kemudian mendapati terdapat seorang lagi guru dan enam murid positif Covid-19.

Menurutnya, ketika itu, pelajar yang positif kekal berada di sekolah dan dalam pemantauan pihak sekolah.

"Kemudian apabila dilaksanakan saringan kontak rapat dalam kalangan 121 murid mereka ini dipotong gelang dan dibenarkan pulang," katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.

Bagaimanapun, Radzi berkata, dalam usaha Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang mengurangkan jumlah pelajar di asrama sekolah itu, mereka menjalankan saringan kepada lebih 200 pelajar hari ini,

Katanya, hasil saringan petang tadi mendapati 65 murid positif Covid-19 dan sudah dibawa ke Maeps untuk pemantauan.

"Esok pihak PKPD akan menjalankan saringan kendiri air liur kepada baki murid untuk melihat sekiranya masih ada yang positif Covid-19.

"Kementerian Pendidikan akan bekerjasama rapat dengan PKD (Sepang) dan pihak sekolah untuk memastikan anak ini berada dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 11:54 PM