Samadi Ahmad


Putrajaya: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini mengumumkan Jumaat ini sebagai Cuti Khas Peristiwa sempena kejayaan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) menjuarai Piala Malaysia selepas menundukkan Johor Darul Ta'azim (JDT) semalam.

Shahidan berkata, pemberian Cuti Khas Peristiwa dibuat sebagai tanda meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong yang memberikan sepenuh komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan KL City FC dalam mengharumkan nama Wilayah Persekutuan.

Katanya, cuti khas ini membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan mengikut Seksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am Tambahan 1951 (Akta 369).

MUHAMMAD Shukor menjulang Piala Malaysia selepas pasukan KL City menewaskan pasukan JDT, semalam. FOTO Aizuddin Saad
MUHAMMAD Shukor menjulang Piala Malaysia selepas pasukan KL City menewaskan pasukan JDT, semalam. FOTO Aizuddin Saad

"Bagi menghargai jasa pemain kita akan memikirkan bentuk imbuhan yang akan diberikan kepada pemain dan pasukan KL City FC yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Kita tahu mereka bermain bermati-matian untuk mengejar juara dan jasa pengorbanan mereka perlu dihargai," katanya ketika ditemui di Putrajaya Presint 1, di sini, hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, KL City berjaya menewaskan JDT dengan jaringan 2-0.

KL City FC merangkul Piala Malaysia ke-100 tahun pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen Piala Malaysia malah mereka meraih tiket ke Piala AFC musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 7:19 PM