ISMAIL Rizwan (kiri); Mohd Fuzi (dua kanan) dan Ramli (tengah) di Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO ihsan pembaca
ISMAIL Rizwan (kiri); Mohd Fuzi (dua kanan) dan Ramli (tengah) di Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Dua beranak antara tiga individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan membunuh lelaki dalam pergaduhan dekat Flat Ashby, Jalan Asman Shah, Sungai Senam, di sini, minggu lalu.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu, Ramli Lot, 60; bersama anak lelakinya Ismail Rizwan Ramli; dan seorang lagi lelaki, Mohd Fuzi Manaf, 47; mengangguk faham sejurus pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Nor Azrin Liyana Mohamad Darus.

Tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa membunuh Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin di pasar pagi di Jalan Hospital Flat, di sini antara 9.05 hingga 11.05 pagi, 25 November lalu.

Mereka didkawa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmipsementara kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran.

Mohd Hakim berkata, seorang daripada anak guamnya iaitu Ramli sebelum ini pernah didiagnosis menghidap tekanan perasaan (depresi) dan masalah emosi selain pernah menjalani pembedahan membuang tumor di kepala pada tahun 2013.

Malah, menurutnya Ramli seharusnya menghadiri temujanji bagi menjalani prosedur imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini pada 27 Disember ini.

Susulan itu pihak pendakwaan memohon tertuduh dirujuk kepada Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) untuk pemerhatian dan penilaian mental terhadapnya.

Nor Azrin Liyana kemudiannya menetapkan Ramli supaya menjalani penilaian kesihatan mental di HBUK selain menetapkan 3 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes.

Minggu lalu, media melaporkan lelaki maut disyaki dicekik dalam kejadian pergaduhan membabitkan empat individu di hadapan sebuah warung pasar pagi di Flat Ashby Road di sini.

Zahratulhayat Mat Arif

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 11:25 AM