GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Johannesburg: Saintis Afrika Selatan mengesan varian Covid-19 baharu yang mempunyai lebih banyak mutasi.
Pakar virologi, Tulio de Oliveira berkata, penemuan itu dibimbangi akan melonjakkan lagi penularan kes.

"Jumlah kes harian di Afrika paling buruk meningkat 10 kali ganda sejak awal bulan ini.

"Malangnya kami mengesan varian baharu yang menjadi punca kebimbangan di Afrika Selatan.

"Varian berkenaan yang selari garis keturunan saintifik B.1.1.529 itu mempunyai bilangan mutasi yang sangat tinggi," katanya dalam satu sidang media tergempar.

Katanya, varian sama itu juga dikesan di Botswana dan Hong Kong, membabitkan pelancong dari Afrika Selatan.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi jaminan mereka akan memantau rapat laporan varian itu.

Badan dunia itu dijangka mengadakan mesyuarat teknikal bagi melihat sama ada vasian itu dikelaskan dalam kategori varian membimbangkan (VOC) atau varian mempunyai kepentingan (VOI).

"Analisis awal menunjukkan varian ini mempunyai jumlah mutasi tinggi yang memerlukan lagi kajian lanjut," kata WHO.

Afrika Selatan merekodkan jumlah peningkatan ketara kes kepada 1,200 kes, pada Rabu lalu, berbanding 106 pada awal bulan lalu.

Sebelum varian baharu itu dikesan, pihak berkuasa meramalkan gelombang keempat akan melanda Afrika Selatan bermula pertengahan Disember terutama menjelang musim perayaan.

Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NICD) berkata, 22 kes positif varian B.1.1.529 direkodkan di negara itu selari dengan penjujukan genomik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 1:56 PM