Sadie Williams
Sadie Williams
Agensi

New York: Akibat kecuaian, sebuah rumah pengebumian di Amerika Syarikat (AS) disaman kira-kira RM337.5 juta selepas kakitangannya didakwa mengebumikan wanita yang salah.

Daily Star melaporkan Sadie Williams, 87, yang meninggal dunia akibat Covid-19 sepatutnya dikebumikan di sebelah pusara suaminya namun wanita lain diletakkan di situ secara tidak sengaja.

Kesilapan itu menyebabkan anak Williams, Salimah Lee, Ishmael Williams dan sembilan adik-beradik mereka memfailkan saman terhadap Rumah Pengebumian Slinger-Hasgill di Amityville, di sini, lapor Daily Star.

Adik-beradik itu diberitahu bahawa wanita dalam plot itu adalah ibu mereka ketika mengadakan mesyuarat praperancangan 72 jam, sebelum pengebumian mengikut cara Islam.

Bagaimanapun, mereka hanya diberitahu mayat yang dikebumikan di sebelah bapa, Franklin Williams, yang meninggal dunia pada 2018, bukanlah Sadie, selepas 24 jam kemudian.

Dalam temu bual dengan ABC, Salimah Lee berkata, dia tahu mayat itu bukan milik ibunya, sejak awal, tetapi dia tidak diendahkan apabila mempersoalkannya.

"Saya pergi ke keranda, perkara pertama yang saya perhatikan, itu bukan ibu saya dan dia memakai jam tangan kanak-kanak," katanya.

Sehari selepas pengebumian, rumah pengebumian menghubunginya untuk mengakui kesilapan itu.

Lee kemudian mendakwa bahawa rumah itu mahu dia menandatangani kertas kerja untuk menggali mayat seolah-olah dirinya anak tunggal kerana ia akan mempercepatkan proses itu tetapi dia menolak.

Ini bermakna kesemua 11 beradik perlu menandatangani afidavit sebelum pengebumian kedua, dengan pengebumian mayat yang betul boleh diadakan pada 8 September.

"Adalah tidak wajar, bagaimana perkara itu boleh berlaku.

"Perkara yang paling membimbangkan mengenai kes ini adalah keluarga menunjukkan kesilapan itu dan Slinger-Hasgill enggan mempertimbangkan kemungkinan melakukan kesilapan," kata peguam, Phil Rizzuto

Difahamkan, 11 beradik itu dilaporkan menuntut pampasan kira-kira RM112.49 juta bersama ganti rugi kira-kira RM224.99 juta.

Pengurusan rumah pengebumian masih belum mengulas mengenai kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 6:30 AM