Ruwaida Md Zain


Klang: Paras air laut di Jeti Nelayan Pangkalan Tok Muda, Kapar, di sini mencecah ketinggian 5.5 meter (m) pada jam 5.20 pagi hari ini, namun keadaan masih terkawal dan tiada penduduk diarah berpindah setakat ini.

Ketua Zon Bomba Klang, Hussin Ab Rahman berkata, pemantauan yang bermula pada 5 pagi itu dijalankan bersama agensi lain di lokasi terbabit dan beberapa lokasi lain.

"Hari ini pada 5.20 pagi, paras air paling maksimum iaitu 5.5 m di mana keadaan air berada pada paras itu antara 10 hingga 15 minit, kemudian mulai surut.

"Paras air hari ini mengikut apa yang dijangkakan, tetapi Alhamdulillah cuaca dalam keadaan baik, tiada angin.

"Kebimbangan kami sekiranya hujan dan angin dari laut, itu boleh menyebabkan kenaikan paras air pasang besar. Jadi, hari ini terkawal, tiada air yang melimpah," katanya ketika ditemui sewaktu menjalankan pemantauan di lokasi berkenaan.

Turut hadir, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Yazli Yahya.

Hussin berkata, selain anggota BBP Kapar, anggota BBP Sungai Pinang dan juga BBP Pelabuhan Klang juga membuat pemantauan di lokasi berkenaan.

"BBP Sungai Pinang membuat pemantauan di Pangkalan Nelayan Sementa dan Sungai Keramat manakala BBP Pelabuhan Klang pula memantau Jeti Pulau Ketam, Telok Gong, Pandamaran dan juga di kawasan Jalan Banting.

"Pemantauan dilakukan dari masa ke masa oleh anggota, biasanya setiap dua hingga tiga jam terutamanya waktu hujan sebab kita bimbang limpahan air.

"Esok (paras air) akan dijangka lebih tinggi lagi iaitu pada paras 5.6 m tetapi melihat kepada keadaan semasa, mungkin cuaca berterusan baik. Jadi kita harap keadaan cuaca kekal baik juga untuk esok," katanya.

Katanya, selain bomba, pemantauan yang diketuai oleh Pejabat Daerah Klang itu turut disertai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tinjauan mendapati, keadaan cuaca di jeti berkenaan dalam keadaan baik, tiada hujan namun anggota sentiasa dalam keadaan bersiap siaga.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar memantau keadaan paras air di Jeti Nelayan Pangkalan Tok Muda, Kapar. FOTO Ruwaida Md Zain
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar memantau keadaan paras air di Jeti Nelayan Pangkalan Tok Muda, Kapar. FOTO Ruwaida Md Zain

Ketika paras air mencecah 5.5 m, turut kelihatan kumpulan anak-anak ikan dalam jumlah banyak berada di permukaan air di jeti berkenaan.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan nelayan dan pemancing, supaya lebih berhati-hati walaupun pada dasarnya mereka mahir dengan keadaan laut.

"Kita harap mereka lebih berhati-hati sebab kita tidak dapat jangka keadaan semasa.. ketika air pasang ini, jika tidak perlu turun, jangan turun... kalau betul selamat baru turun. Mohon ambil maklum keadaan cuaca menerusi Jabatan Meteorologi juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 8:52 AM