Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kaedah rawatan menggunakan pil Ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada kerana ia tidak mengurangkan risiko jangkitan tahap teruk.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata demikian mengenai hasil kajian Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) hari ini mengumumkan hasil dapatan ujian Keberkesanan Rawatan Ivermectin ke atas Pesakit Covid-19 Berisiko Tinggi (Kajian I-TECH).

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan supaya Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan.

"Keputusan kajian I-TECH juga selari dengan kajian berskala besar seperti Ivercor-Covid-19 dari Argentina dan Together dari Brazil yang tidak menyokong penggunaan rutin Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pasukan kajian I-TECH bercadang menghantar data kajian itu untuk diterbitkan di dalam jurnal peer-reviewed bagi memberi maklumat tambahan kepada kajian Ivermectin termasuklah meta-analisis.

"Diharapkan dapatan kajian tempatan ini dapat memberi pencerahan kepada pengamal perubatan di Malaysia dan juga kepada orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

"Pengamal Perubatan diingatkan untuk tidak mengesyorkan penggunaan Ivermectin termasuklah berkongsi pengiklanan mahupun penjualan secara haram Ivermectin dengan tujuan merawat Covid-19 sehingga bukti saintifik yang lebih kukuh tersedia," katanya.

Sebelum ini, 500 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dengan kategori dua atau tiga Covid-19 menjalani ujian itu untuk menilai keberkesanan rawatan lima hari Ivermectin.

"Ia membabitkan pesakit Covid-19 di 20 hospital kerajaan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 )PKRC) MAEPS 2.0," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 6:40 PM