Halimatus Saadiah bersama ahli keluarganya. (Gambar kanan) Bergambar kenangan ketika membawa ibunya ke Bandar Saujanan Hijau, Putrajaya baru-baru ini. Foto Ihsan Halimatus Saadiah Abd Halim
Halimatus Saadiah bersama ahli keluarganya. (Gambar kanan) Bergambar kenangan ketika membawa ibunya ke Bandar Saujanan Hijau, Putrajaya baru-baru ini. Foto Ihsan Halimatus Saadiah Abd Halim
Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Sanggup mengangkat ibu yang berkerusi roda menaiki anak tangga untuk sama-sama meluangkan masa di Bandar Saujana Hijau, Putrajaya baru-baru ini, menunjukkan kasihnya anak.

Begitulah perkongsian video milik Halimatus Saadiah Abd Halim, 33, menerusi akaun TikTok yang tular dan menyentuh hati warganet.

Perkongsian terbabit menerima pelbagai maklum balas yang positif apabila melihat kesungguhan Halimatus Saadiah bersama adik-beradiknya yang lain membawa ibu, Seibah Shukri, 64, bersiar-siar bersama di sekitar Bandar Saujana Hijau itu, Selasa lalu.

"Pada awalnya, kami ingin berpatah balik sebab tak dapat bawa ibu naik ke atas dan agak sukar untuk naik dengan membawa kerusi roda.

"Sebelum ini, ada laluan untuk golongan kurang upaya disediakan, namun tutup dan kami juga fikir takkan nak berpatah balik hanya kerana tak dapat bawa ibu sekali.

"Bagaimanapun, kami ambil keputusan mengangkat ibu dengan kerusi roda untuk melalui tangga dan sama-sama membawa ibu bersiar-siar di sana," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, mereka tidak mengambil masa yang lama di sana. Melihat ibu yang sekian lama duduk di rumah melahirkan satu perasaan yang seronok dari hati.

Halimatus Saadiah berkata, abang sulungnya, Ansharullah Abd Halim, 36, mengambil keputusan untuk mendukung ibunya yang tidak dapat berjalan ketika pulang untuk menuruni tangga.

Berkongsi cerita mengenai keadaan ibunya, Halimatus Saadiah berkata, ibunya diserang strok pada 2005 dan pernah koma sebelum ini.

Bagaimanapun, anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, dia bersyukur kerana ibu masih dipanjangkan umur dan dikurniakan kesihatan yang baik walaupun daya ingatannya tidak seperti orang lain.

"Alhamdulillah, ibu masih ingat anak-anak dan keluarga. Ada masa dia akan lupa juga dan banyak kali bertanya kepada kami.

"Pada awal ibu jatuh sakit memang agak sukar bagi kami, namun dengan sokongan adik-beradik kami dapat sama-sama membantu dan menjaga ibu," katanya.

Halimatus Saadiah berkata, ibu dan bapa kini tinggal bersama abang sulung di Sabak Bernam, Selangor dan mereka tujuh beradik sentiasa bergilir-gilir untuk berbakti kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 8:31 PM