BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 1 November ini hingga 30 April 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia meliputi diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman serta diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Beliau berkata, diskaun 10 peratus pula diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Bagi memastikan proses pengajian pelajar B40 terus terpelihara, Tengku Zafrul berkata, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar di institusi pengajian tinggi.

"Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM450 juta di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira RM65 juta. Insya-Allah, 600,000 siswa siswi daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Tengku Zafrul juga berkata, peruntukan tambahan RM200 juta disediakan untuk program usaha sama dengan industri termasuk Skim Latihan Dual Nasional dan program persijilan industri.

Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia ke-12, kerajaan telah mengenal pasti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai antara pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri.

"Bagi memperkasa TVET, kerajaan menyediakan RM6.6 bilion untuk melaksana pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi berkaitan. Tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Kementerian Pengajian Tinggi diperuntuk RM14.5 bilion dalam Bajet 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 4:55 PM