Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Akibat terpedaya dengan janji manis, lebih 50 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) mendakwa mengalami kerugian mencecah RM200,000 selepas membuat pelaburan mata wang kripto berjumlah antara RM1,000 hingga lebih RM10,000 seorang.

Malah, mereka sanggup menggunakan wang simpanan dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas gelap mata mengaut keuntungan melebihi satu peratus sehari itu.

Penuntut yang mahu dikenali sebagai Amir, 21, berkata, dia mula memasuki pelaburan membeli mata wang kripto apabila seorang pensyarahnya yang juga membuat iklan di dalam kumpulan WhatsApp pada Jun lalu.

Katanya, dia mula memasukkan wang RM138 lebih 10 kali ke lima akaun berbeza sehingga mengalami kerugian keseluruhan hampir RM3,900.

"Lebih malang, saya mengajak adik membuat pelaburan dengan jumlah RM2,800 kerana percaya pelaburan itu memberi keuntungan selepas melihat akaun saya bertambah menjadi lebih RM9,000 namun tidak sempat untuk mengambilnya.

"Pada 18 Oktober lalu, akaun pelaburan saya tidak dapat dibuka dan saya serta rakan lain menyedari kami ditipu sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu, Khamis lalu," katanya.

Menurutnya, dia buntu dan tertekan kerana tidak mendapatkan keuntungan, malah wang modal lebur menyebabkan tiada wang untuk membeli makanan.

Katanya, dia terpaksa mencatu untuk perbelanjaan makan dan mengharapkan ihsan rakan selain tidak memberitahu ibu bapa kerana bimbang dimarahi.

SEBAHAGIAN penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menunjukkan laporan polis selepas ditipu dalam  pelaburan mata wang kripto sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menunjukkan laporan polis selepas ditipu dalam pelaburan mata wang kripto sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Seorang lagi penuntut, Johan, 21, rugi lebih RM2,000 apabila memasukkan wang ke akaun pelaburan atas beberapa nama.

Katanya, dia mula menyertai pelaburan itu pada Jun selepas tertarik dengan keuntungan ditawarkan.

"Ketika (ditawarkan) itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya fikir masuk pelaburan ini lebih mudah kerana menawarkan keuntungan yang tinggi.

"Namun kami tidak bernasib baik kerana rugi. Malah, adik saya yang berada di IPT lain turut masuk dengan nilai lebih RM2,400. Kes ini diharap menjadi pengajaran dan saya berharap dapat kembali wang.

"Justeru, saya menasihatkan kepada semua supaya mengelak daripada terjebak dengan janji manis pelbagai skim pelaburan ini dan semak dahulu sebelum sertai" katanya.

Seorang penuntut yang mahu dikenali sebagai Yasmin, 27, berkata, dia rugi lebih RM10,000.

"Saya sudah buat laporan polis untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut," katanya.

Terima 21 laporan babit kerugian RM900k

Polis menerima 21 laporan termasuk daripada penuntut institut pengajian tinggi (IPT) di negeri ini yang mendakwa diperdaya skim pelaburan mata wang kripto membabitkan kerugian hampir RM900,000.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, semua laporan polis berkenaan diterima dalam tempoh 18 Oktober sehingga kelmarin.

"Jumlah kerugian dilapor hampir RM900,000 di mana membabitkan kerugian mangsa di antara RM140 hingga RM200,000 seorang.

"Susulan laporan itu, polis membuat siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tiga kertas siasatan dibuka berhubung pelaburan terbabit," katanya ketika dihubungi, semalam.

Shafien turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan menyelidik terlebih dahulu sebelum melabur bagi mengelakkan kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 8:02 AM