ANZHELIKA Baranova. FOTO Agensi
ANZHELIKA Baranova. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Seorang gadis dari Irkutsk, Rusia mendapat jolokan Rapunzel Rusia selepas mendedahkan tidak pernah memotong rambutnya sejak 23 tahun lalu.

Oddity Central melaporkan kali terakhir Anzhelika Baranova yang bertugas sebagai jururawat memotong rambutnya adalah ketika dia berusia lima tahun.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Baranova atau ahli keluarganya yang merancang supaya gadis itu tidak memotong rambut, selama lebih dua dekad.

Menurut Baranova, dia tidaklah mengamalkan rutin penjagaan yang terperinci untuk rambutnya.

Sebaliknya, dia hanya mencuci rambutnya dua kali seminggu dengan syampu dan perapi biasa serta menyikatnya dengan lembut dengan sikat untuk memastikannya ia kekal rapi.

"Semuanya sangat sederhana, penjagaan minimum," kata Baranova kepada Caters News.

"Saya mencuci rambut dua kali seminggu dengan perapi supaya ia mudah disikat, kemudian membiarkan ia kering secara semula jadi dan menyikatnya dengan berhati-hati," katanya.

Gadis berusia 28 tahun itu mengakui berjalan dengan rambut panjang mencecah pergelangan kaki, ada kalanya mencabar, bahkan membuatkannya berasa tidak selesa.

Meskipun begitu, Baranova menganggap kesukaran itu berbaloi kerana membuatkan ramai kagum dengannya sekali gus ia membuatnya gembira.

"Orang yang saya sayangi dan saya sendiri percaya rambut panjang kelihatan sangat cantik," kata Baranova, sambil menambah dia tidak merancang untuk memotong rambutnya dalam masa terdekat.

Selain Baranova, ada beberapa gadis lain yang turut mempunyai rambut panjang luar biasa.

Antaranya, Rin Kambe dari Jepun yang rambutnya sepanjang 4.6 meter kerana tidak dipotong sejak 15 tahun dan Alena Kravchenko dari Ukraine yang tidak pernah memotong rambut, selama 28 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 6:30 AM