Dr Zainal Ariffin Omar
Dr Zainal Ariffin Omar
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat akan mengundang risiko jangkitan dan kluster baharu memandangkan trend kes Covid-19 dalam negara masih tinggi ketika ini.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, sepatutnya penularan wabak yang tidak terkawal dan tercetusnya kluster selepas PRN Sabah tahun lalu, wajar dijadikan pengajaran.

"Kalau boleh tangguh (PRN) sehingga situasi (jangkitan Covid-19) lebih baik dan rentas negeri dibenarkan.

"Jika terpaksa diadakan (PRN Melaka), perlu ada SOP ketat. Seelok-eloknya jangan buat kempen secara bersemuka dari rumah ke rumah atau berkumpulan dan perhimpunan yang menyukarkan penjarakan fizikal.

"Pastikan individu yang lengkap vaksinasi saja terbabit kempen," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kemelut politik Melaka yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun), kelmarin.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak kemudian mengesahkan menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dun Melaka penggal ke-14.

Ikmalrudin dilaporkan berkata, berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, satu pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran Dun itu.

Sementara itu, Pakar Virologi Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, PRN di Melaka sebaik-baiknya ditangguhkan bagi mengelak situasi Covid-19 bertambah buruk memandangkan jangkitan pandemik di negara ini masih tinggi.

Katanya, kewujudan varian baharu yang membimbangkan memerlukan kerajaan mempertimbangkan kaedah terbaik sebelum mengadakan pilihan raya.

Katanya, ini termasuk menetapkan polisi atau prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

"Terdapat beberapa isu yang memerlukan penilaian kerajaan terutamanya kebenaran rentas negeri dan golongan antivaksin.

"Jika PRN diadakan, sudah tentu orang Melaka yang menetap di luar negeri itu mahu pulang untuk mengundi termasuk individu yang tidak mendapat suntikan vaksinasi.

"Begitu juga pengundi yang menetap di luar negara, mereka mungkin mahu pulang mengundi. Apa yang dibimbangi adalah kemasukan varian dari negara luar seperti varian Mu," katanya

Mengulas lanjut, Dr Sazaly berkata, terdapat dua pilihan yang boleh dilakukan kerajaan ketika ini iaitu menangguhkan pilihan raya atau mewujudkan dasarterbaik bagi membolehkan individu layak mengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Namun, beliau mempersoalkan sama ada negara bersedia membuka pintu sempadan dan menghadapi kemungkinan kemasukan varian baharu ke negara ini.

"Walaupun kita sudah mendapat vaksinasi, bukan bermakna kita tidak boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

"Adalah lebih baik ditangguhkan dahulu (PRN Melaka) seperti penangguhan PRN Sarawak sehingga Februari tahun depan," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dan pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, kerajaan sedia ada boleh terus menjadi kerajaan sementara atau 'caretaker' sehingga pilihan raya boleh diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 6:40 AM