LONG mendakwa dana dikumpul untuk pendidikan luar bandar dan ia sudah diteliti oleh juruaudit. FOTO Weibo
LONG mendakwa dana dikumpul untuk pendidikan luar bandar dan ia sudah diteliti oleh juruaudit. FOTO Weibo
Agensi

Beijing: Selebriti internet yang digelar 'guru paling cantik di China' kerana membantu anak-anak di sekolah luar bandar berdepan kontroversi selepas didakwa mengumpulkan derma daripada orang ramai tanpa kebenaran.

South China Morning Post melaporkan, Gina Long Jingjing, 28, yang memiliki sarjana dalam kerja sosial daripada Universiti Columbia, New York, sebelum ini dipuji kerana sikapnya membantu golongan susah.

Namun, awal bulan ini, seorang lelaki dikenali sebagai Xu memaklumkan kepada Biro Hal Ehwal Sivil Changsha syarikat wanita itu mengumpulkan derma daripada orang ramai tanpa lesen.

Imej Long yang sebelumnya sangat dipuji, kini bertukar sebaliknya, dengan ramai menuduhnya menggunakan anak-anak kurang bernasib baik untuk keuntungan peribadi.

Dalam status Weibo pada Sabtu, Long mengaku melanggar undang-undang apabila menerbitkan kod QR dalam talian untuk menerima sumbangan.

Bagaimanapun, wanita itu mempertahankan tindakannya dengan alasan dia tidak menyedari melanggar undang-undang.

Katanya, sumbangan itu untuk menyokong pendidikan luar bandar China dan tidak digelapkan untuk tujuan lain, selain mendakwa dana itu diteliti oleh juruaudit.

Pihak berkuasa Changsha sedang meneliti kes itu, kata laporan itu.

"Mengubah dunia komitmen serius. Sepanjang dekad yang lalu, saya sudah membantu 1,500 orang, mengumpulkan derma bernilai 1.93 juta yuan (kira-kira RM 1.25 juta) dan menganjurkan 112,025 kelas untuk kanak-kanak," kata Long.

dalam klip video yang dikeluarkan pada akhir bulan lalu.

Long, yang berasal dari Changsha di Hunan, pergi ke luar negara untuk belajar di sekolah menengah pada usia 16 tahun.

Pada 2011, dia kembali ke China semasa cuti musim panas untuk mengajar di kampung-kampung di daerah terpencil.

Katanya, dia juga mengumpulkan derma di Amerika Syarikat untuk anak-anak miskin di China yang tinggal di kawasan pergunungan.

Long yang menamatkan pengajian di Universiti Columbia pada 2018, menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan di Changsha yang dikenali Kind Force untuk menghantar guru jangka panjang dan pendek ke kawasan luar bandar.

Dia juga terbabit kontroversi apabila dilaporkan mengenakan caj sebanyak 5,000 Yuan (kira-kira RM3,235) untuk perjalanan ke pedalaman Hunan, selama lima hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 7:05 AM