DR Ahmad Hafizam dan Aishah bersama tiga cahaya mata mereka. Ahmad Hafizam dan Aishah pada hari perkahwinan mereka. (FOTO KANAN).
DR Ahmad Hafizam dan Aishah bersama tiga cahaya mata mereka. Ahmad Hafizam dan Aishah pada hari perkahwinan mereka. (FOTO KANAN).
Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Perkenalan awal yang membawa kepada rasa cinta bagi pasangan berlainan adat, budaya dan agama tidak menghalang mengecapi kebahagiaan.

Jika jodoh tidak ke mana dan ia adalah pepatah sesuai bagi Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi serta Aishah@Marietta Yong Oii Yun.

Dr Ahmad Hafizam, 42, dibesarkan dalam keluarga Melayu Islam berasal dari Pasir Puteh, Kelantan.

Manakala isterinya Aishah, 43, berketurunan Sino Dusun dari Tawau, Sabah dibesarkan dalam keluarga Kristian.

Pasangan romantis Keluarga Malaysia yang dipisahkan Laut China Selatan itu melangsungkan perkahwinan pada 18 Ogos 2006.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga 'hero' masing-masing Ahmad Nazrin, 14, Ammar Ibrahim, 11, dan Ayman Hanifah yang berusia lapan tahun.

Menceritakan detik perkenalan, Dr Ahmad Hafizam berkata, kali pertama dia bertemu Aishah di Hospital Sandakan.

"Aishah juga petugas barisan hadapan perubatan sebagai jururawat di Jabatan Perbidanan dan sakit puan.

"Pada waktu itu antara 2003 hingga 2007 saya bertugas di Sabah iaitu di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu sebelum bertukar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hingga kini," katanya.

Beliau berkata, antara kebaikan perkahwinan campur ialah berpeluang untuk mengenali satu sama lain bukan sahaja hati budi, malah adat budaya.

Dr Ahmad Hafizam berkata, seluruh keluarga dan isterinya masing-masing turut sama mengeratkan silaturahim bersesuaian dengan hikmah atau tujuan Allah SWT mencipta manusia berbilang bangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 7:00 AM