BOMBA dikejarkan ke lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA dikejarkan ke lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kulai, di sini, gempar berikutan puluhan penduduk mendapat simptom sesak nafas, loya dan hampir pitam berikutan menghidu udara yang berbau busuk, malam tadi.

Ia disusuli dengan dua penduduk wanita kampung berkenaan yang tiba-tiba pengsan.

Penduduk kampung, Hafiz Badrul Hisham, 37, mendakwa, kejadian itu mula dikesan sejak 8.30 malam, selepas bau busuk yang menyesakkan nafas tiba-tiba menyelubungi udara persekitaran kampung.

Katanya, bau yang kuat seakan-akan bau petrol itu menyebabkan mereka yang terhidunya akan merasakan tidak selesa dan berasa loya.

"Pada 8.30 malam ketika sedang berada di luar rumah, secara tiba-tiba saya terhidu satu bau tidak menyenangkan yang menyebabkan sesak nafas.

"Saya tergerak hati cuba mencari puncanya sama ada datang dari dari stesen minyak berhampiran.

"Namun, bau itu makin lama makin kuat. Ketika itu, saya lihat ramai jiran sudah keluar mungkin terganggu bau pencemaran udara itu.

"Saya ternampak seorang wanita sudah batuk-batuk sebelum pengsan. Saya terus beri bantuan bawa masuk dalam rumah sementara tunggu bomba sampai," katanya ketika dihubungi.

Media pagi ini melaporkan, dua penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia dari sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian 10.30 malam tadi itu, dua wanita masing-masing berusia 20 serta 40 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

  • Dua wanita pengsan, lebih 100 penduduk dipindahkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 8:50 AM