JIWA patriotik dimiliki Sudirman cukup tebal dalam dirinya.
JIWA patriotik dimiliki Sudirman cukup tebal dalam dirinya.
Oleh Riadz Radzi


Selepas Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad meninggal dunia pada 22 Februari 1992, siapa artis tempatan mampu mengatasi semangat patriotiknya?

Mungkin ada satu dua nama, tapi masih tidak mampu mengatasi Allahyarham.

Siapa yang mengikuti perkembangan Sudirman, pasti tahu jiwa patriotik cukup tebal dalam dirinya.

Dalam setiap persembahan atau konsert, nama dan budaya masyarakat Malaysia tetap setia bersamanya.

Sebenarnya, semangat perpaduan lahir secara semula jadi dalam diri Sudirman. Dia bukan saja diminati peminat Melayu, tetapi semua bangsa.

Bukan sekadar kaum, konsert dan persembahannya sentiasa dipenuhi masyarakat berbeza latar belakang dan kelas ekonomi.

Sudirman juga mungkin satu-satunya penyanyi tempatan yang berani merakamkan album bertema patriotik untuk pasaran komersial.

Pada 1982, ketika tidak ada penyanyi mahu merakamkan album bertema patriotik, Sudirman tampil dengan album berjudul Abadi.

Album yang diterbitkan S Atan itu juga adalah album kelapan Sudirman.

S Atan dalam satu temu bual berkata, syarikat rakaman ketika itu agak keberatan kerana tidak yakin album patriotik boleh mendapat sambutan, tetapi Sudirman tetap dengan pendiriannya.

"Waktu itu mana ada penyanyi rakam album patriotik. Syarikat rakaman memang tak yakin boleh jual.

Namun, itulah Sudirman. Dia tetap berusaha menghasilkannya," katanya yang menerbitkan sembilan daripada 15 album studio Sudirman.

Walaupun tidak ada rekod berapa jualan album berkenaan, tetapi impaknya cukup kuat. Buktinya lagu seperti 31 Ogos dan Warisan kekal evergreen hingga hari ini.

Lagu 31 Ogos cukup ikonik apabila terus dimainkan setiap kali kita menyambut Hari Kemerdekaan. Kita akan bersemangat setiap kali mendengar lagu yang dirakam Sudirman kira-kira 39 tahun lalu itu.

Bukan saja orang dewasa, malah kanak-kanak prasekolah turut menghafal lagu ini.

Malah, Sudirman turut 'menenggelamkan' penyanyi asal lagu ini iaitu Allahyarham Ahmad CB.

Ahmad CB yang juga penyanyi kelahiran Medan, Indonesia itu adalah pencipta dan penyanyi asal lagu berkenaan. Ia dicipta selepas beliau mendapat tahu Malaya akan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Lagu Warisan ciptaan dan lirik oleh Syed Haron pula pernah dijadikan tema Hari Kebangsaan ke-57 pada 2014 iaitu Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.

Turut dimuatkan ialah lagu 8 Ke 4 1/4 (Punch Card) yang diinspirasikan daripada pengenalan kad perakam waktu atau punch card untuk kakitangan kerajaan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1981.

Turut dimuatkan dalam album itu ialah lagu Tegakkan Bendera Kita, Kehadiranku, Di Suatu Pagi, Indahnya Alam, Pertemuan Abadi, Sabarlah Menanti dan Di Bumi Bertuah.

S Atan berkata, album Abadi yang dirakam di Studio EMI di Singapura itu mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan.

"Tidak akan ada pengganti Sudirman. Dia bukan saja memiliki semangat patriotik yang tebal, tetapi juga penghibur sejati dengan disiplin yang tinggi," katanya.

S. Atan.
S. Atan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 7:01 AM