TEKANAN dialami boleh diredakan dengan merujuk kepada pakar perunding bertauliah.
TEKANAN dialami boleh diredakan dengan merujuk kepada pakar perunding bertauliah.
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Isu penjagaan anak, krisis rumah tangga dan pengurusan emosi antara 122,851 panggilan diterima Talian Bantuan Sokongan Psikososial berkaitan mental dan emosi setakat Jun lalu.

Talian itu diwujudkan sejak Mac 2020 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta badan bukan kerajaan (NGO) Mercy Malaysia Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, talian itu disediakan khusus bagi mengendalikan masalah psikososial dalam kalangan rakyat terkesan dari segi emosi dan kesihatan mental.

Menurutnya, daripada jumlah itu, kaunseling emosi mencatatkan panggilan tertinggi iaitu 109,568, maklumat Covid-19 (6,228 panggilan), aduan dan pertanyaan (2,642 panggilan), rumah tangga (2,796 panggilan), bantuan keperluan asas (456 panggilan) dan isu kesihatan pula sebanyak 448 panggilan.

Katanya, selain itu masalah berkaitan kerohanian mencatatkan 446 panggilan, penjagaan anak, (106 panggilan), psikiatri (69 panggilan), bantuan kewangan (62 panggilan) dan penderaan (30 panggilan).

"Isu mengenai pengurusan kesihatan mental ini sangat penting ketika rakyat berdepan dengan wabak Covid-19, sekatan pergerakan dan kehilangan mata pencarian.

"Kita juga terima kes tindakan di luar jangkaan seperti mencederakan diri sendiri sebanyak 238 kes dari Januari sehingga Mac tahun ini.

"Sebab itu kita dalam perancangan untuk memperkasakan beberapa aspek seperti meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

"Usaha dekriminilisasi cubaan bunuh diri ini penting untuk membantu mereka yang tersasar dalam menangani masalah serius kehidupan," katanya.

Beliau berkata, antara langkah yang sudah diambil termasuk melantik 200 pegawai psikologi berstatus kontrak untuk bertugas di daerah dan klinik kesihatan.

Katanya, KKM juga mewujudkan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025 sebagai langkah menangani masalah mental.

"Sebagai ahli komuniti, kita perlu sentiasa peka dengan perubahan orang di sekeliling kita.

"Ini isu kita bersama. Perhatikan kawan atau jiran yang ada perubahan tingkah laku. Jumpa doktor atau kaunselor sebelum kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Talian Bantuan Sokongan Psikososial termasuk Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) boleh dihubungi di 03-29359935 atau 014-3223392, Talian Kasih 15999 (WhatsApp Talian Kasih di 0192615999) bagi mendapatkan pelbagai bantuan selain aduan keganasan rumah tangga.

Selain itu, terdapat juga talian dikendalikan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) Care Jakim melalui WhatsApp 01119598214 serta Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929.

Luahan perasaan 'terapi' terbaik

Kuala Lumpur: Rasa jiwa kosong, bingung dan hilang arah menyebabkan seorang pemandu van sekolah mengadu nasib dengan menghubungi Talian Bantuan Sokongan Psikososial.

Kehilangan sumber pendapatan dalam sekelip mata akibat pandemik Covid-19 ternyata sukar diterima Mariah, 40, yang buntu memikirkan nasib menimpa keluarganya.

Sejak 10 tahun lalu, dia membantu meringankan beban suami dengan menambah pendapatan keluarga sebagai pemandu van sekolah di Melaka yang mampu memperoleh lebih RM2,000 sebulan.

Namun, kemunculan wabak maut yang melanda negara sejak Mac tahun lalu menyebabkan dia kini hanya bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata untuk meneruskan hidup.

"Pada awalnya, saya masih boleh bertahan, dengan harapan wabak ini (berlaku) hanya sementara dan dapat meneruskan operasi (mencari rezeki) seperti biasa.

"Selepas setahun, tidak ada apa yang boleh dilakukan, van sekolah pula tidak boleh dijual kerana masih mempunyai hutang.

"Sampai satu tahap, saya jadi sangat buntu dan memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan. Atas nasihat badan bukan kerajaan (NGO) Amal Revival Care, saya hubungi talian (psikosial) dan bercakap dengan kaunselor bagi meluahkan perasaan," katanya.

Katanya, dia sendiri tidak pernah menyangka dirinya memerlukan sokongan psikososial seperti itu kerana selama ini menganggap ia hanya untuk mereka yang mempunyi masalah mental.

Sementara itu, Ainul, 30-an, berkata, dia juga menjadikan talian terbabit untuk bercakap dengan kaunselor bagi meluahkan tekanan dialaminya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, dia mengambil masa lebih setengah jam untuk berbual dan bercerita mengenai kesempitan hidup dan bersyukur ia secara tidak langsung dapat meredakan sedikit tekanan dihadapi.

Doa sebagai 'ubat' ditimpa musibah

Kuala Lumpur: Islam menyarankan beberapa kaedah praktikal dalam menghadapi tekanan emosi akibat ditimpa musibah seperti pandemik Covid-19.

Antara formula paling berkesan adalah memohon doa kepada Allah SWT bagi membantu keluar daripada kesusahan yang dihadapi untuk mendepani kehidupan akan datang.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amalan seperti membaca al-Quran, qiamullail, zikir dan beristighfar selain reda dengan ujian yang diterima.

Katanya, selain itu mereka juga seharusnya bertaubat tanpa berputus asa kerana sebagai manusia sudah tentu melakukan dosa.

"Tiada manusia yang tidak melakukan dosa kecuali Rasul dan Nabi. Yakinlah bahawa Allah SWT sentiasa menerima taubat daripada hamba-hambaNya.

"Mungkin segala musibah yang menimpa diri kita adalah salah satu cara untuk Allah menghapuskan dosa-dosa kita.

"Kita juga perlu sentiasa bersedekah kepada golongan fakir miskin dan membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Dr Wan Salim berkata, terdapat banyak cara untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik sama ada dengan harta benda, membantu dengan anggota badan, mengajar ilmu, kepandaian serta kemahiran.

Katanya, seseorang yang sering membantu orang lain dan banyak melakukan kebajikan kepada sesama manusia sentiasa berasa tenang dan bahagia.

"Inilah ganjaran Allah di dunia ini, manakala ganjaran di akhirat sudah tentunya lebih besar bagi mereka yang yakin.

"Untuk merawat tekanan jiwa ini, pertama sekali kita mesti faham bahawa sememangnya Allah SWT menjadikan kehidupan di dunia ini dalam keadaan yang sentiasa berubah.

"Senang dan susah, suka dan duka silih berganti, hal ehwal manusia sentiasa berubah dari semasa ke semasa," katanya.

Tambah jumlah pakar perunding

Kuala Lumpur: Peluang menyantuni golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 digunakan Pertubuhan Amal Global Care Revival untuk memberi maklumat mengenai Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang disediakan kerajaan.

Pengasasnya, Ahmad Fahmi Mohd Hussain berkata, pihaknya membantu dengan berkongsikan maklumat mengenai talian itu kepada mereka yang memerlukan setiap kali turun padang.

Menurutnya, ia bagi membantu mereka untuk meredakan tekanan dan mengelakkan daripada menjadi begitu tertekan dengan kehidupan norma baharu ketika ini.

Katanya, biarpun mempunyai pengalaman beberapa tahun dalam memberikan bantuan berupa makanan asas, dia mengakui aspek psikososial perlu diserahkan kepada individu yang memiliki kepakaran.

"Kita tidak mempunyai kemahiran untuk menyantuni emosi mereka yang terkesan ini.

"Ia bukanlah sesuatu yang mudah terutama apabila berdepan dengan mereka yang menghadapi tekanan perasaan kritikal.

"Saya harap pihak berkuasa dapat menambah baik perkhidmatan diberikan, termasuk menambah jumlah pakar perunding bagi menyantuni setiap permasalahan yang diajukan," katanya.

Katanya, setakat ini maklum balas diterima pihaknya mengenai talian sokongan seperti itu amat positif dan ia perlu diteruskan dalam keadaan yang semakin mencabar ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 1:00 PM