Muhammad Ziyad Zolkefli
Muhammad Ziyad Zolkefli
Suraya RoslanMuhammad Saufi HassanMahaizura Abd Malik dan Aida Adilah Mat dan Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Serangan bertali arus netizen di media sosial bukan saja tidak mampu mengubah keputusan, malah tidak menggambarkan semangat kesukanan yang patut ditampilkan rakyat Malaysia.

Jaguh lontar peluru para, Muhammad Ziyad Zolkefli berkata, menyerang laman sosial lawan bukan tindakan wajar.

"Saya harap seluruh rakyat Malaysia, jangan mengecam kawan saya (atlet Ukraine, Maksym Koval) yang juga pemenang pingat emas, saya harap semua faham. Dia kategori seperti saya, dia pun ada perasaan macam saya, dia pun lemah seperti saya.

"Bila kena macam tu, saya pun tak tahu situasi dia macam mana. Macam saya pun dah sebak dan sedih, macam mana dengan dia. Mereka komen pasal fizikal semua, benda itu negatif. Kalau boleh kita sebarkan perkara positif, insya-Allah kita lebih maju," katanya.

Nama Ziyad menjadi tumpuan di seluruh dunia kerana kemenangannya dalam acara lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 31 Ogos lalu dibatalkan walaupun tiga kali memecah rekod dunia selepas protes dari kem Ukraine kerana didakwa lewat memasuki bilik panggilan.

Berikutan itu, Koval yang pada awalnya menduduki tempat kedua diisytihar pemenang pingat emas hingga menimbulkan kemarahan 'tentera bawang' Malaysia.

Sementara itu, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berharap netizen lebih bersikap matang dan tidak terus melakukan serangan ke atas mana-mana pihak di media sosial.

"Saya nasihatkan kepada semua rakyat Malaysia kalau boleh elak menjadikan sesuatu perkara itu sebagai peribadi. Jangan kita serang mana-mana media sosial individu secara peribadi.

"Sebab kami sebagai pelumba juga cuba sentiasa bersikap profesional. Walaupun jatuh atau apa saja situasi, kami akan bersalaman semula dan cukup sampai di situ sahaja," katanya.

Seteru Azizul yang juga pelumba Australia, Matthew Glaetzer menerima kecaman hebat daripada netizen Malaysia selepas dia dikatakan menjadi punca peluang Azizul meraih pingat emas pada final acara keirin di Olimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga mempunyai pandangan sama selepas pesaingnya yang juga pelumba Britain, Jack Carlin dikecam kerana menjadi punca Shah terjatuh pada perlumbaan saringan kedua acara keirin di Olimpik Tokyo 2020 sebelum dikejarkan ke hospital.

"Kepada semua penyokong, tolong jangan menghukum mana-mana pelumba. Kemalangan sentiasa berlaku di perlumbaan trek terutama dalam acara keirin, tetapi tiada siapa mahu sebabkan kemalangan dengan sengaja.

"Ia sebahagian daripada perlumbaan dan setiap atlet yang hadir mahukan kemenangan," katanya.

Godam data peribadi, peranti

Kuala Lumpur: Menggodam data peribadi mangsa termasuk peranti seperti kamera web, pengintipan menggunakan mikrofon dan menyebarkan maklumat berkenaan di semua platform.

Itu tindakan gila segelintir pembuli siber termasuk individu yang obses dengan idola maya mereka sehingga mampu menggodam perkakas milik mangsa yang disasarkan.

Terdapat banyak kes penggodam atau pembuli siber menyasarkan peranti milik mangsa termasuk akaun media sosial untuk mengakses kandungan platform berkenaan.

Pakar keselamatan siber, Fong Chook Fook berkata, kes buli siber tidak tertumpu kepada penggunaan perkataan memalukan atau kesat di media sosial sahaja, malah membabitkan kes penggodaman.

"Kami terima banyak kes mangsa buli siber ini yang bukan hanya menjadi mangsa kata-kata makian, tetapi akaun media sosial mereka digodam.

"Wujud juga kes pada tahap kritikal apabila pembuli siber yang berkeupayaan menggodam kamera web milik mangsa termasuk mikrofon untuk tujuan pengintipan.

"Kebiasaannya, mangsa tidak sedar pada awalnya sehingga suatu tahap video mereka tersebar atau pembuli berkenaan menghantar video itu kepada mereka," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif sebuah firma keselamatan siber terkemuka berkata, pengguna perlu lebih prihatin serta mempunyai pendedahan berhubung etika keselamatan dalam ruang siber. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:50 AM