OLIVEIRA (kiri) bersama mangsa keduanya, Edvaldo. FOTO Agensi
OLIVEIRA (kiri) bersama mangsa keduanya, Edvaldo. FOTO Agensi
Agensi

Brasilia: Seorang wanita dari Brazil yang diberi gelaran Black Widow susulan didakwa membunuh dua teman lelakinya dengan racun tikus dijatuhi hukuman penjara 21 tahun.

Mirror UK melaporkan Wane Brenda Oliveira dijatuhi hukuman untuk pembunuhan mangsa pertama dan belum ada tarikh perbicaraan bagi pertuduhan kedua.

Perbuatan berkenaan dilakukan di Itabuna di timur laut Brazil.

Dia didakwa memberi kedua-dua teman lelakinya chumbinho iaitu sejenis racun tikus yang dibuat dengan racun serangga karbamat Aldicarb pada 2017.

Aldicarb dalam jumlah tinggi dapat membunuh manusia dengan melumpuhkan sistem pernafasan.

Racun itu diharamkan di kebanyakan negara termasuk Jerman dan Switzerland, tetapi boleh dibeli di tiga negeri di Brazil termasuk tempat Oliveira menetap.

Media tempatan melaporkan mangsa pertama, Edvaldo Araujo Alves, 40, meninggal dunia pada April 2017.

Pada mulanya lelaki itu dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beberapa bulan kemudian, Oliveira berkenalan pula dengan Evandro Bonfim de Souza juga berusia 40 tahun yang kemudian disyaki diracun hingga mati.

Pada kedua-dua kes berkenaan, tertuduh didakwa membawa mangsa ke unit kesihatan selepas diracun dan kedua-duanya meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati.

Oliveira tidak berpuas hati dengan ahli keluarga Edvaldo yang mengatakan lelaki itu tidak gembira dengan hubungannya.

Mayat mangsa digali setahun kemudian kerana disyaki mengalami keracunan dan koroner mengesahkan ada unsur mencurigakan dalam kes berkenaan.

Oliveira sebelum ini berada dalam tahanan selama empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 6:30 AM