SAMPUL surat keluaran khas Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
SAMPUL surat keluaran khas Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Omar Ahmad


Pontian: Setiap barang antik pastinya mempunyai nilai tersendiri namun bagi pesara guru, Jamal Ahmad, 56, lebih 120 koleksi pelbagai cenderahati kemerdekaan miliknya adalah simpanan paling berharga.

Mesra disapa Cikgu Jamal, aktivis sejarah ini mula mengumpul cenderahati berkaitan Hari Kemerdekaan negara sejak berusia 16 tahun iaitu sekitar 1980-an.

Katanya, pada mulanya dia hanya memiliki koleksi gelas merdeka yang tertera gambar Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

"Sebelum itu saya mengumpul koleksi setem dan syiling lama, tetapi rasa tidak puas. Sehingga satu hari ternampak gelas cenderahati hari kemerdekaan milik keluarga. Dari situ bermula perjalanan saya mengumpul pelbagai koleksi cenderahati kemerdekaan 1957.

"Koleksi paling saya sayang ialah surat khabar asal keluaran Malaya Merdeka yang diterbitkan pada 1 September 1957 tulisan Jawi menggunakan tangan.

"Selain itu, sehelai salinan asal Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman yang diedarkan kepada penghulu dan ketua masyarakat pada 1957 dalam empat tulisan iaitu Rumi, Jawi, Cina dan Tamil.

"Tetapi yang dalam simpanan saya hanya tulisan Jawi," katanya ketika ditemui di kediamannya di Serkat di sini.

Sehingga kini, Cikgu Jamal mempunyai lebih 80 gelas kaca sempena kemerdekaan yang dikeluarkan pelbagai syarikat minuman pada tahun itu.

Selain gelas, terdapat koleksi sekecil kotak mancis, kotak rokok, buku tulis, pensel, rantai kunci, sampul surat, setem, penanda buku, lampu basikal dan pin yang semuanya dikeluarkan khas sempena kemerdekaan.

JAMAL menunjukkan cenderahati pinggan dan gelas keluaran Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957 yang sukar diperoleh pada waktu kini. FOTO OMAR AHMAD
JAMAL menunjukkan cenderahati pinggan dan gelas keluaran Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957 yang sukar diperoleh pada waktu kini. FOTO OMAR AHMAD

"Kalau lihat pada barang yang ada dalam simpanan saya, dapat rasakan pada waktu itu keghairahan menyambut kemerdekaan begitu ketara.

"Boleh dikatakan setiap syarikat minuman mengeluarkan gelas khas keluaran kemerdekaan dan tertera perkataan Selamat Merdeka.

"Ia menggambarkan sambutan kemerdekaan pada ketika itu sangat meriah," kata bekas guru Bahasa Melayu dan Sejarah itu.

Namun, kata Cikgu Jamal, jika dibandingkan sejak masuk tahun baharu, sambutan ulang tahun kemerdekaan dengan pengeluaran cenderahati kemerdekaan semakin berkurangan.

Katanya, semangat dan kecintaan kepada negara perlu disemai dan dibugarkan dalam kalangan masyarakat.

"Berbeza masa dulu dengan sekarang, walaupun saya lahir selepas negara mencapai kemerdekaan dapat lihat perbezaan sambutan sekarang.

"Tiada lagi keluaran khas merdeka oleh syarikat. Kalau kita banding pada hari ini macam tandus, kalau bab pasang bendera macam dipaksa untuk dikibarkan, bukan bermakna semangat kemerdekaan luntur, tetapi semakin terhakis.

"Kita perlu buat pembugaran dan segarkan kembali sambutan kemerdekaan supaya dapat dirasai rakyat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 6:50 AM