LAGU Tanggal 31 Ogos nyayian Allahyarham Sudirman terus tersemat dalam hati setiap rakyat Malaysia.
LAGU Tanggal 31 Ogos nyayian Allahyarham Sudirman terus tersemat dalam hati setiap rakyat Malaysia.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Sebagai lagu kebangsaan, Negaraku wajib tersemat dalam hati. Selain itu, lagu patriotik juga menjadi nadi pencetus semangat patriotisme rakyat Malaysia.

Hakikatnya, sehingga kini banyak lagu patriotik terus unggul dan diingati setiap masa.

Antaranya Tanggal 31 Ogos nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad (nyanyian asal oleh Ahmad CB), Bahtera Merdeka, Setia, Warisan, Standing in the Eyes of the World dan Sejahtera Malaysia.

Kebanyakannya lagu lama dan berusia puluhan tahun, tetapi impaknya sehingga ke generasi hari ini.

Bagaimanapun, agak musykil juga apabila terlalu jarang lagu patriotik pada era hari ini yang mampu meninggalkan kesan mendalam walaupun pengkarya muzik termasuk generasi terkini banyak mencipta lagu bercorak begitu.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan apa sebenarnya resipi sebuah lagu patriotik yang padu dan meninggalkan impak luar biasa sebagaimana lagu patriotik lama yang kekal semarak semangat kenegaraan biarpun diulang-ulang?

Ketepikan karya lama, antara lagu patriotik yang sememangnya cukup jadi siulan sekarang ialah Negaraku nyanyian Faizal Tahir, Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne. Bukan setakat gandingan penyanyinya, melodi, lirik dan aura lagu itu juga cukup kuat.

Justeru, ia membuktikan kita sememangnya belum ketandusan karya berunsur kenegaraan yang bagus. Barangkali, ia kerana keseluruhan lagu itu juga sememangnya cukup rencah dan rasanya.

Berkongsi pandangannya, Joe Flizzow tidak menafikan penghasilan lagu patriotik semestinya bukan tugasan mudah. Banyak faktor perlu ditelusuri dengan mendalam jika berhajat mencipta lagu yang mampu diingati setiap masa.

"Sebuah lagu patriotik yang hebat perlu berjaya membangkitkan semangat kenegaraan. Ia perlu disuntik nilai penting yang boleh membawa pendengar mengimbas kembali perjuangan rakyat kita," katanya.

Menyentuh mengenai lagu Negaraku sendiri, Joe yakin lagu itu berjaya memikat pendengar muda kerana krafnya begitu terperinci. Baik daripada segi liriknya yang indah sehinggalah kualiti muziknya.

"Lagu patriotik tidak boleh disamakan dengan lagu pop terutama liriknya apabila nilai bahasa perlu indah, lebihkan perbendaharaan kata, kemas, rapi dan sentiasa tulis kata-kata yang tahapnya tinggi.

"Tahap muzikal pula perlu diolah sebaik-baiknya daripada pelbagai aspek, berunsur patriotik dan inti patinya kena tepat. Ia termasuk penggunaan instrumen epik, melodi menyentuh hati dan susunan muziknya mewah," katanya.

AUBREY bangga lagu Gemuruh jadi peniup semangat rakyat Malaysia.
AUBREY bangga lagu Gemuruh jadi peniup semangat rakyat Malaysia.

Secara jujur, Joe juga tidak menjangkakan Negaraku berjaya diterima luar biasa sebagai antara lagu patriotik pilihan ramai.

Menurutnya, secara peribadi acuan lagu itu memang sudah cukup kuat sebelum dirakamkan sejak awal.

"Sewaktu merealisasikan lagu itu, kanvas serta hala tujunya memang sudah cantik dan terletak tepat. Maka, proses rakamannya tidak sukar dan kami cuma perlu masukkan vokal serta muzik," katanya.

Berdasarkan pengalaman itu, Joe berpendapat penghasilan lagu patriotik juga kena benar-benar mampu cipta kesatuan mengenai semangat kenegaraan rakyat Malaysia. Ia seharusnya tepat mengena jiwa setiap warga negara ini.

"Selain lagu kena tepat, pencipta lagu juga kena kaji sedalam-dalamnya mengenai elemen nasionalisme. Liriknya juga perlu mudah difahami semua pendengar serta mengena tepat ke jiwa mereka. Paling penting, lagu berkenaan juga perlu ada kesatuan yang menggabungkan semua bangsa, agama atau latar belakang rakyat kita. Dengan itu, impaknya pasti akan lebih besar untuk memikat pendengar kita," katanya.

Turut popular jadi siulan, lagu Gemuruh juga tidak semena-mena menjadi lagu pembakar semangat buat rakyat Malaysia kala ini. Walaupun dihasilkan pada 2007, lagu nyanyian Faizal Tahir dan ciptaan Aubrey Suwito dan Tesh RS itu terus digilai.

Menurut Aubrey, mutakhir ini lagu berkenaan menjadi sohor kini (trending) di media sosial termasuk Twitter.

Menurutnya, dia tidak sangka Gemuruh berjaya meninggalkan impak tersendiri sehingga sekarang.

"Saya sebenarnya terkejut apabila lagu berkenaan menjadi bualan di Twitter. Ramai mengatakan lagu berkenaan sangat dekat dengan hati mereka dan berjaya menyemarakkan semangat kenegaraan.

"Paling saya banggakan adalah lagu itu juga digunakan secara meluas dalam pelbagai acara. Baik di sekolah sehinggalah acara hinggalah meraikan atlet Malaysia serta pencapaian negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Bercerita mengenai penghasilannya, Aubrey mendedahkan tidak pernah terlintas di fikiran bahawa Gemuruh akan diangkat sebagai lagu patriotik. Sebaliknya, lagu itu memfokuskan kepada membakar semangat untuk naik pentas dan lagu tema program Mystarz LG.

"Sebenarnya lagu itu dibuat untuk sebuah program realiti. Ia menceritakan mengenai perasaan berada di belakang pentas dan kata-kata perangsang bagi menaikkan lagi semangat diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 6:40 AM