PASUKAN Badri, unit khas pejuang Taliban tiba di pintu utama lapangan terbang di Kabul, selepas tentera Amerika Syarikat (AS) berundur sepenuhnya dari negara itu. FOTO AFP
PASUKAN Badri, unit khas pejuang Taliban tiba di pintu utama lapangan terbang di Kabul, selepas tentera Amerika Syarikat (AS) berundur sepenuhnya dari negara itu. FOTO AFP
AFP

Kabul: Tentera Amerika Syarikat (AS) berundur sepenuhnya dari Afghanistan sekali gus mengakhiri perang selama 20 tahun di negara itu.

Kumpulan terakhir tentera AS keluar dari negara itu menerusi penerbangan dari lapangan terbang di sini, sebelum tengah malam Selasa.

Pejuang Taliban kemudian segera memenuhi lapangan terbang dan melepaskan tembakan ke udara bagi meraikan pengunduran itu.

Ia bagi meraikan berakhirnya penguasaan AS di negara itu selama dua dekad.

Bagaimanapun, Taliban dilihat mewarisi sebuah negara yang hancur walaupun AS sudah menghabiskan berbilion dolar untuk membangunkannya daripada kemunduran dan kemiskinan.

Bagi rakyat Afghanistan pula, ramai yang bimbang Taliban akan menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang ketat seperti mana ketika kumpulan itu mentadbir negara berkenaan antara 1996 hingga 2001.

Ia termasuk berhubung hak dan kebajikan wanita.

Pengunduran tentera AS itu dibuat ketika hampir tarikh akhir untuk tujuan berkenaan yang sebelum ini ditetapkan Presiden AS, Joe Biden iaitu pada 31 Ogos.

Operasi ketenteraan AS di Afghanistan adalah perang paling lama membabitkan tentera AS.

Perang itu mengorbankan lebih 2,400 tenteranya.

Pengunduran juga dibuat susulan dengan ancaman dari cabang kumpulan militan Daish, sekutu Taliban yang berusaha menyerang pasukan tentera AS di lapangan terbang.

Seramai 13 daripada 100 tentera AS maut dalam serangan berani mati di lapangan terbang itu, minggu lalu.

Ketika kejadian berkenaan, ramai rakyat Afghanistan berusaha untuk memasuki kawasan lapangan terbang seterusnya menaiki pesawat untuk meninggalkan negara itu.

Sejak 14 Ogos lalu juga, lebih 123,000 orang dikeluarkan dari Kabul menggunakan kapal terbang tentera AS.

Susulan pengunduran sepenuhnya itu juga, AS mengumumkan negara itu memindahkan urusan diplomatik dengan Afghanistan, ke Doha, Qatar.

Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid menerusi Twitter berkata, pihaknya mengalu-alukan pengunduran sepenuhnya tentera AS berkenaan.

"Dengan cara ini, negara kita benar-benar bebas dan merdeka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 6:30 AM