PELBAGAI kostum adiwira yang dipakai untuk menggembirakan kanak-kanak pesakit kanser.
PELBAGAI kostum adiwira yang dipakai untuk menggembirakan kanak-kanak pesakit kanser.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tunai 97 hajat terakhir. Itu inisiatif diambil badan bukan kerajaan (NGO), Caza Superheroes yang mengumpulkan 22 pemain cosplay untuk menunaikan impian kanak-kanak yang menderita penyakit kanser sebelum pergi buat selama-lamanya.

Ia berdasarkan permintaan kanak-kanak itu yang mahu berinteraksi dengan adiwira kegemaran mereka seperti Spiderman, Iron Man dan banyak lagi.

Aktivis Caza Superheroes, Natasha Emelia Laila Abdul Rahman, 33, berkata dia bersama rakan terpanggil untuk menunaikan hasrat terakhir kanak-kanak berkenaan yang menghitung detik akhir hidup mereka.

Katanya, dia dan suami, Dicky Halimy Osman, 45, berusaha mengumpulkan pemain cosplay lain untuk memakai kostum berdasarkan permintaan kanak-kanak itu dan membuat video ucapan kepada mereka.

"Kebanyakan kanak-kanak yang kami tunaikan hajat terakhir ini menghidap akut leukemia, kanser tulang, kanser otak, kanser limfoma, kanser darah dan kanser buah pinggang.

"Mereka yang berusia antara dua bulan hingga 12 tahun adalah penghidap kanser tahap empat dan kami diminta oleh keluarga untuk menunaikan hasrat terakhir berjumpa dengan adiwira kegemaran kanak-kanak ini," katanya yang berkecimpung sebagai pemain cosplay dan NGO kebajikan sejak 2011.

Natasha yang juga membawa watak Spider-Gwen dan Captain Marvel berkata, dia dan rakan begitu tersentuh apabila dimaklumkan kanak-kanak itu kritikal dan menghitung hari untuk menghabiskan sisa hidup.

Katanya, ia membuatkan semangat mereka untuk membantu apa yang termampu dengan menghiburkan kanak-kanak berkenaan.

‘SPIDERMAN’ sedang membuat panggilan video bersama pesakit.
‘SPIDERMAN’ sedang membuat panggilan video bersama pesakit.

"Bila dimaklumkan keadaan mereka yang ada (masa) hanya empat hingga lapan bulan, kami jadi sedih dan terkenangkan permintaan mereka. Jadi kami cuba buat sebaik mungkin, sekurang-kurangnya dapat menceriakan mereka seperti yang diinginkan.

"Semoga ia sedikit sebanyak dapat memberi sinar harapan dan kekuatan untuk terus berjuang melawan sakit kanser yang dialami sekarang," katanya.

Dia yang lebih dikenali sebagai Nel berkata, sebelum ini mereka menghiburkan kanak-kanak ini secara bersemuka sama ada di hospital atau pusat jagaan namun kini ia dilakukan secara dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Turut membantu mengumpulkan permintaan kanak-kanak terbabit adalah Gary Liew daripada Street Feeders KL.

Menerusi panggilan video, setiap watak idaman kanak-kanak akan tampil berbual, bertanya khabar dan membuat persembahan selain memberi kata-kata semangat kepada mereka.

GABUNGAN pelbagai adiwira bersatu menunaikan hasrat pesakit kanser.
GABUNGAN pelbagai adiwira bersatu menunaikan hasrat pesakit kanser.

"Apa yang kami boleh buat ialah membantu dengan penampilan adiwira seperti ini selain berdoa agar segala-galanya dipermudahkan.

"Ia bukan saja menyentuh hati kami, tetapi memberikan pengajaran bahawa kita perlu melakukan yang terbaik kepada semua di dalam hidup," katanya.

Antara pemain cosplay yang terbabit adalah Danish, Black, Apiz, Afiq, Jash, Zamri, Yohan, Kevin, Syuk, Syukur, Faizal , Saiful, Najib, Nazmi, Amir, Rahman, Dora, Brandon, Aaron, Deevon dan Farabi yang akan memakai kostum Ant-Man, Deadpool, Iron Man, Black Panthers, Ultraman, Power Rangers, Wonderwoman, Superman, Dr Strange, War Machine, Ninja Turtle, Mysterio, Star Wars, Captain America, Supergirl, Thor dan Loki.

CAZA Superheroes menunaikan permintaan kanak-kanak penghidap kanser yang mahu berinteraksi dengan adiwira kegemaran mereka.
CAZA Superheroes menunaikan permintaan kanak-kanak penghidap kanser yang mahu berinteraksi dengan adiwira kegemaran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 12:00 PM